Kemudahan pembiayaan boleh jadi pedang bermata dua

Iklan
PKS dinasihatkan mendapatkan pandangan akauntan profesional, penasihat cukai atau perunding perniagaan sebelum membuat pelaburan besar. Gambar hiasan

AKSES yang lebih mudah kepada pembiayaan sering dianggap berita baik bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun di sebalik peluang tersebut tersimpan risiko yang tidak boleh dipandang ringan.

Pemilik perniagaan yang gagal memahami tanggungjawab kewangan dan risiko pelaburan berdepan kemungkinan terperangkap dalam beban hutang walaupun menerima suntikan modal tambahan.

Iklan
Iklan

Presiden Association of Certified Accountants, Malaysia (ACA Malaysia), Profesor Dr Tan Yen Wooi berkata, Belanjawan 2027 menyediakan pelbagai peluang kepada PKS untuk berkembang menerusi pengurangan cukai, sokongan pembiayaan dan insentif pelaburan.

Beliau mengingatkan bahawa peluang tersebut perlu disertai pengurusan kewangan yang baik bagi mengelakkan perniagaan terjerumus ke dalam beban hutang.

Iklan

Menurut beliau, akses pembiayaan yang lebih luas dapat membantu PKS mendapatkan modal kerja dan mengembangkan operasi. Namun, kemudahan pembiayaan boleh menjadi pedang bermata dua sekiranya tidak disertai perancangan kewangan yang baik.

“Pinjaman berbeza daripada geran kerana ia perlu dibayar balik mengikut syarat yang ditetapkan. Oleh itu, pemilik perniagaan perlu memahami implikasi kewangan sebelum membuat keputusan untuk menambah hutang,” katanya.

Iklan

Ujarnya, ramai usahawan mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan, namun tidak semestinya memiliki latihan formal dalam pengurusan kewangan. Keadaan ini boleh menyebabkan mereka terlalu cepat mengembangkan perniagaan atau melabur dalam projek baharu tanpa menilai risiko yang terlibat.

Beliau menjelaskan bahawa keuntungan yang direkodkan dalam penyata kewangan tidak semestinya bermaksud syarikat mempunyai tunai yang mencukupi.

Faktor seperti kelewatan kutipan hutang pelanggan, pusing ganti inventori yang perlahan atau pulangan pelaburan yang rendah boleh menjejaskan aliran tunai.

Sehubungan itu, ACA Malaysia mencadangkan agar literasi kewangan dijadikan sebahagian daripada program pembangunan dan pembiayaan PKS. Latihan yang diberikan perlu meliputi pengurusan aliran tunai, analisis kos pembiayaan, penilaian pelaburan, pengurusan hutang serta kawalan risiko.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan PKS mendapatkan pandangan akauntan profesional, penasihat cukai atau perunding perniagaan sebelum membuat pelaburan besar. Penilaian perlu mengambil kira pulangan pelaburan, kos pembiayaan, keupayaan membayar balik pinjaman serta risiko pasaran.

Beliau turut mengingatkan pemilik perniagaan supaya berwaspada terhadap skim pelaburan meragukan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Dana pinjaman, katanya, sepatutnya digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan operasi perniagaan, bukannya disalurkan kepada pelaburan yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Selain itu, ACA Malaysia mencadangkan pendekatan audit cukai yang lebih berasaskan risiko bagi PKS yang mempunyai rekod pematuhan yang baik, manakala sumber penguatkuasaan ditumpukan kepada transaksi berisiko tinggi dan bernilai besar.

Mengulas secara keseluruhan, beliau berkata kejayaan Belanjawan 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah pinjaman yang diluluskan atau insentif yang diberikan semata-mata, sebaliknya sejauh mana ia mampu meningkatkan keuntungan, produktiviti dan daya tahan kewangan perniagaan.

“Dasar fiskal yang berjaya bukan sekadar memudahkan pinjaman, tetapi memastikan perniagaan mempunyai pengetahuan untuk mengurus kewangan, menjana keuntungan dan menggunakan setiap ringgit secara berkesan bagi mewujudkan nilai jangka panjang,” katanya.