MERAK Jalanan faham kemarahan orang ramai bila dengar Irene Sofiya, 16, ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, Batu Pahat.
Lebih menyedihkan apabila mengenangkan nasib arwah yang kehilangan ibu dan menjadi harapan bapanya. Sukar membayangkan perasaan seorang bapa yang kehilangan anak dalam keadaan begitu tragis.
Siapa yang tidak marah? Siapa yang tidak bersimpati? Namun dalam kemarahan itu, jangan sampai emosi mengatasi akal sehingga kita sendiri melakukan perkara salah.
Sejak kes ini mula tersebar, ada netizen yang bertindak mendedahkan wajah dan identiti suspek yang masih di bawah umur. Mungkin mereka mahu menunjukkan kemarahan, menuntut keadilan atau sekadar mengikut apa yang dikongsi orang lain.
Tetapi tahukah mereka bahawa tindakan sedemikian boleh membawa padah?
Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) menetapkan sekatan terhadap pendedahan identiti kanak-kanak yang terlibat dalam perkara jenayah, termasuk melalui gambar dan butiran yang boleh membawa kepada pengenalan mereka.
Pelanggaran peruntukan ini boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kalau kena tangkap, jangan pula menuduh pihak berkuasa pilih kasih atau undang-undang berat sebelah. Sebelum menuding jari kepada orang lain, periksa juga tindakan sendiri.
Jangan kerana terlalu ghairah mahu menghukum seseorang di media sosial, akhirnya kita sendiri terpaksa menjawab di sisi undang-undang.
Keadilan untuk mangsa mesti diperjuangkan tetapi kemarahan bukan lesen untuk kita melanggar undang-undang.