Dua lelaki ditahan, parang, sabit dan peralatan curi kabel dirampas

Iklan
Video dipercayai dirakam daripada kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain itu turut memaparkan individu dipercayai pemandu kenderaan itu dilihat cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan anggota polis.

AMPANG JAYA – Tindakan dua individu yang cuba melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa kepada penemuan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel serta dua senjata berbahaya dalam kejadian di Bukit Antarabangsa, di sini, pada Ahad.

Kedua-dua lelaki tempatan itu ditahan selepas dikejar anggota polis dari Jalan Wangsa 5, Bukit Antarabangsa menuju ke Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Hulu Kelang, kira-kira pukul 11 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang mengejar sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max berwarna oren.

Menurut beliau, kedua-dua suspek berjaya ditahan ketika berada di dalam kenderaan berkenaan di persimpangan Jalan Jelatek dan Jalan Taman Setiawangsa, berhampiran sebuah stesen minyak.

Iklan

“Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sebilah parang, sebilah sabit serta peralatan yang dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, termasuk alat pembuka penutup lurang utiliti (manhole).

“Polis turut merampas bahan yang disyaki dadah daripada kedua-dua suspek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Tular video sebuah kenderaan pacuan empat roda dilihat terbabas ketika dikejar kenderaan polis di sebuah persimpangan lampu isyarat di sini.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabas ketika dikejar kenderaan polis di sebuah persimpangan lampu isyarat di kawasan berkenaan.

Video yang dipercayai dirakam menerusi kamera papan pemuka sebuah kenderaan lain itu turut menunjukkan individu dipercayai pemandu kenderaan tersebut cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan anggota polis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.