KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis bahawa, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sengaja memejamkan mata terhadap sumber wang RM25.3 juta yang dimasukkan ke akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata demikian ketika hujahan hari pertama kes menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta dihadapi Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berusia 79 tahun, di hadapan Hakim, Noor Ruwena Md Nurdin.
Katanya, ahli politik itu sepatutnya berusaha untuk menyemak sumber wang berkenaan bagi menyelidiki transaksi membabitkan individu dan syarikat yang pernah memohon sokongannya bagi mendapatkan projek Jana Wibawa.
Menurutnya, kegagalan Ahli Parlimen Pagoh itu mengambil tahu transaksi berkenaan menunjukkan tertuduh mengetahui kewujudan wang berkenaan dalam akaun parti, selain tidak boleh menganggapnya sebagai sumbangan politik semata-mata.
"Tertuduh sengaja menutup mata terhadap perkara yang jelas dan dia bukan boneka atau ahli biasa dalam Bersatu, sebaliknya pemegang amanah dan mempunyai akses terus atau autoriti terhadap akaun parti politik yang dipimpinnya.
“Jika tertuduh selidik sumber wang tersebut, sudah tentu dia sedar bahawa transaksi berkenaan membabitkan individu atau syarikat sama yang memohon sokongan melalui surat-surat dihantar terus kepadanya dalam projek terbabit," katanya.
Selain itu, Wan Shaharuddin berkata, dakwaan bahawa wang berkenaan merupakan sumbangan politik turut dinafikan tiga saksi pendakwaan.
Mereka ialah saksi pendakwaan ke-27 (SP27), Pengarah KCJ Engineering Sdn Bhd, Datuk Seri Azman Yusoff; SP20, Pengarah Urusan syarikat Mamfor Sdn Bhd, Shahradzi Shamsuddin, 44, dan SP21, ahli perniagaan, Lian Tian Chuan yang juga dikenali sebagai TC Lia.
Sebaliknya, beliau berkata, ketiga-tiga saksi berkenaan menjelaskan wang itu diberikan sebagai balasan selepas syarikat KCJ Engineering, Nepturis Sdn Bhd dan Sutracom Sdn Bhd memperoleh projek Jana Wibawa.
Beliau berkata, perkara itu perlu dilihat bersama tindakan Muhyiddin meminta Azman supaya kontraktor yang ingin membuat sumbangan, menyalurkan wang terus kepada Bersatu.
Menurutnya, pihak pendakwaan berjaya mematahkan hujahan pembelaan Muhyiddin bahawa wang berkenaan sekadar sumbangan politik.
“Kegagalan Muhyiddin memastikan sumber wang yang dimasukkan ke akaun parti sebagai sah turut menimbulkan persoalan.
“Lebih-lebih lagi apabila terdapat perbelanjaan besar dilakukan Bersatu selepas sebahagian wang itu diterima,” katanya.
Beliau berkata, sukar untuk mempercayai Muhyiddin tidak menyedari transaksi berkenaan memandangkan kedudukannya dalam parti serta akses langsung kepada akaun-akaun tersebut.
Bukan itu sahaja beliau berkata, tiada cadangan dikemukakan ketika pemeriksaan balas terhadap dua saksi bank bahawa, Muhyiddin atau Bendahari Bersatu pernah tampil membuat laporan kepada CIMB dan AmBank berhubung transaksi kemasukan wang berkenaan.
Beliau berkata, keseluruhan keterangan itu perlu dinilai secara kumulatif bagi menunjukkan kaitan rapat antara tindakan Muhyiddin membantu memudahkan syarikat berkenaan memasuki proses penilaian projek Jana Wibawa dengan kepentingan kewangan Bersatu.
Katanya, Muhyiddin didakwa membuka jalan kepada KCJ, Nepturis dan SUTRACOM untuk memasuki proses penilaian oleh Jawatankuasa Penilaian Jana Wibawa di Kementerian Kewangan yang diketuai SP25.
SP25 ialah Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd Yusoff, 54, yang ketika kejadian merupakan Setiausaha Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan di kementerian berkenaan.
"Semua hujahan kami menjuruskan kepada kesimpulan bahawa tertuduh memang mengetahui sumber wang RM25.3 juta itu bukan daripada sumber yang sah.
“Jika digabungkan dengan keterangan dan fakta lain, jelas terdapat hubungan rapat antara tindakan tertuduh dengan kepentingan parti yang dipimpinnya ketika itu,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Abdul Jumaat.
Dalam prosiding tersebut, Muhyiddin diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Amer Hamzah Arshad.
Muhyiddin, 79, berdepan tiga pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM25.3 juta bagi parti Bersatu daripada tiga syarikat, iaitu Nepturis, Mamfor dan KCJ Engineering serta Azman Yusoff berkaitan Projek Jana Wibawa.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hujahan oleh pihak pembelaan bersambung 1 Disember depan.