Kes dadah babit aset tentera: Polis tidak tolak kemungkinan ada tangkapan baharu
Iklan
Mohd Khalid menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang antara pemangku, Datuk Azry Akmar Ayob (kiri) dan Ketua Polis Pahang Baharu, Datuk Mohammad Shaharul Md Osman, pada Khamis.
KUANTAN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan melakukan tangkapan baharu terhadap individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes sindiket penyeludupan dadah menggunakan aset tentera.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, setakat ini, sebanyak 13 tangkapan dilakukan melibatkan tujuh pegawai dan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), manakala enam lagi ialah orang awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Iklan
Iklan
"Kes ini masih lagi dalam siasatan … saya tak dapat mendedahkan (bilangan individu dikesan), reman (suspek ditahan) telah tamat serta disambung oleh pihak mahkamah dan kita akan jalankan siasatan bagi memastikan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan.
"Hasil daripada siasatan yang berterusan, insya-Allah kita akan lakukan lain-lain tangkapan yang dipercayai mempunyai hubung kait dengan kes yang sedang kita siasat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, pada Khamis.
Iklan
Mohd Khalid berkata, kerjasama erat antara PDRM dengan pihak tentera, khususnya TUDM telah membuahkan hasil menerusi operasi bersama yang dijalankan.
Beliau berkata, kerjasama itu penting dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah serta memastikan isu berkenaan dapat dibendung daripada terus menular dalam negara.
Iklan
Minggu lepas, polis membongkar kegiatan sindiket pengedaran dadah menggunakan kemudahan pengangkutan ketenteraan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penahanan 13 individu itu susulan penemuan dadah yang disembunyikan di dalam lima bagasi dan sebuah kotak di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Sementara itu, Mohd Khalid berkata, kesepaduan dan semangat solidariti dalam kalangan warga pasukan polis perlu sentiasa diperkukuh bagi memastikan setiap tanggungjawab dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Beliau berkata, sebanyak 6,300 pegawai dan anggota berkhidmat di Pahang, sekali gus menuntut kerjasama erat serta semangat berpasukan dalam memastikan kelancaran pelaksanaan tugas.
Pada majlis itu, Mohd Khalid menyaksikan serah terima tugas antara Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob yang memangku jawatan Ketua Polis Pahang kepada Datuk Mohammad Shaharul Md Osman, Ketua Polis Negeri yang baharu. - Bernama
<div itemscope itemtype="https://schema.org/VideoObject"><meta itemprop="name" content="Sindiket dadah TUDM: 'Tidak terlepas walau apa pun jawatan, kedudukan' - Saifuddin"><meta itemprop="description" content="Individu berpengaruh dan mereka yang mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti terbabit dalam sindiket penyeludupan dadah yang mengeksploitasi kemudahan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa individu yang berpotensi terlibat dalam kegiatan jenayah terancang itu dan siasatan akan diperluaskan bagi membongkar keseluruhan rangkaian sindiket berkenaan.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/806210/berita/semasa/sindiket-dadah-tudm-tidak-terlepas-walau-apa-pun-jawatan-kedudukan---saifuddin
#SinarHarian #BeritaSemasa #Parlimen"><meta itemprop="uploadDate" content="2026-11-26T05:44:30.000Z"><meta itemprop="thumbnailUrl" content="https://s1.dmcdn.net/v/hFxjU1h1yTPD7qFn_/x1080"><meta itemprop="duration" content="P158S"><meta itemprop="embedUrl" content="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.html?video=xc0028u"><meta itemprop="contentUrl" content="https://www.dailymotion.com/crawler/video/xc0028u"><script src="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.js" data-video="xc0028u"></script>