EU kecam serangan Houthi di Riyadh, keadaan semakin berbahaya

Iklan
Von der Leyen - Foto: Agensi

ANKARA - Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, pada Ahad memberi amaran bahawa serangan terbaharu Houthi ke atas lapangan terbang Riyadh menandakan satu"peningkatan yang berbahaya”, sambil menyifatkannya sebagai serangan paling dahsyat seumpamanya yang pernah berlaku di kemudahan itu setakat ini, lapor Anadolu Ajansi.

"Serangan Houthi paling dahsyat setakat ini ke atas lapangan terbang Riyadh menandakan satu peningkatan yang berbahaya,” kata von der Leyen menerusi platform media sosial X.

Iklan
Iklan

"Kami simpati kepada mangsa serta keluarga mereka,” katanya sambil menyatakan solidariti dengan Arab Saudi dan rakyatnya.

Von der Leyen memberi amaran bahawa serangan berkenaan menyumbang kepada peningkatan ketidakstabilan di seluruh rantau itu.

Iklan

"Serangan oleh proksi Iran ini sedang menjerumuskan rantau itu ke dalam lingkaran keganasan,” katanya.

Beliau turut menekankan kesan lebih luas terhadap pengangkutan antarabangsa dan infrastruktur tenaga.

Iklan

"Serangan ini menggugat kestabilan hab penting pengangkutan global dan tenaga, sekali gus mencetuskan kesan berantai ke seluruh dunia,” katanya.

Sambil menggesa agar keganasan yang menyasarkan orang awam dihentikan serta-merta, von der Leyen berkata,"Serangan kejam terhadap orang awam ini mesti dihentikan serta-merta.”

Dalam serangan ke atas lapangan terbang itu, empat rakyat Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat (AS), Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terbunuh, menurut pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi.

Mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital, dengan beberapa orang dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Pihak berkuasa penerbangan itu sebelum ini memaklumkan bahawa operasi lapangan terbang digantung sementara selepas serangan berkenaan, sementara pegawai menilai kerosakan dan mengesahkan keselamatan kemudahan lapangan terbang itu.

Penggantungan itu mengganggu jadual penerbangan, dengan penumpang dinasihatkan supaya menyemak maklumat terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum bertolak ke lapangan terbang. Kuwait Airways turut membatalkan penerbangan ke Riyadh pada Sabtu serta penerbangan balik, dengan alasan penutupan lapangan terbang berkenaan.

Serangan itu berlaku ketika ketegangan semakin memuncak susulan serangan peluru berpandu dan dron oleh Houthi terhadap lapangan terbang serta kemudahan di Arab Saudi sejak beberapa hari kebelakangan ini. - Bernama