Musk sedia 'durian runtuh' buat kanak-kanak AS

Iklan
Beliau menyifatkan pemberian saham sebagai cara untuk membolehkan orang ramai memiliki kepentingan secara langsung dalam ekonomi masa depan. - Foto Agensi

NEW YORK – Bukan wang tunai atau tabungan pendidikan sebaliknya saham syarikat angkasa lepas. Itulah hadiah bernilai berbilion dolar yang dirancang bilionair kontroversi, Elon Musk untuk diberikan kepada generasi muda di Amerika Syarikat (AS).

Musk pada Rabu mengumumkan bahawa setiap kanak-kanak di negara itu bakal menerima dua saham SpaceX, masing-masing satu daripada syarikat berkenaan dan satu lagi daripada pegangan peribadinya.

Iklan
Iklan

Pengumuman itu dibuat susulan kenyataan SpaceX yang komited menyumbangkan satu saham biasa Kelas A yang baharu diterbitkan kepada setiap akaun Trump yang masih aktif.

Berdasarkan harga penutupan saham SpaceX pada AS$127.44 (RM524.73) sesaham pada Rabu, nilai dua saham itu dianggarkan AS$254.88 (RM1,049.47) bagi setiap penerima.

Iklan

Dengan mengambil kira kira-kira 72 juta penduduk AS berusia bawah 18 tahun, keseluruhan pemberian itu berpotensi bernilai sekitar AS$18.35 bilion (RM76 bilion).

Bagaimanapun, masih belum jelas sama ada janji Musk untuk memberikan saham kepada setiap kanak-kanak akan dilaksanakan sepenuhnya menerusi akaun Trump atau menggunakan kaedah pengagihan lain.

Iklan

Akaun Trump merupakan skim akaun pelaburan berfaedah cukai yang diperkenalkan di bawah undang-undang cukai pentadbiran Presiden Donald Trump bagi membantu keluarga membina simpanan jangka panjang untuk anak-anak.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO) SpaceX, Gwynne Shotwell bersama suaminya turut mengumumkan sumbangan peribadi lebih dua juta saham syarikat itu untuk diagihkan kepada kanak-kanak yang layak menerusi inisiatif berkenaan.

Pada bulan lalu, Musk yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Tesla berjanji memberikan satu saham SpaceX kepada setiap kanak-kanak di AS bermula tahun depan.

Pengumuman terbaharu itu menyaksikan jumlah saham yang dirancang untuk diberikan Musk meningkat daripada satu kepada dua saham bagi setiap kanak-kanak.

Beliau menyifatkan pemberian saham sebagai cara untuk membolehkan orang ramai memiliki kepentingan secara langsung dalam ekonomi masa depan.

Bagaimanapun, pelaksanaan rancangan berkenaan masih belum dimuktamadkan dengan mekanisme pengagihan serta syarat kelayakan penerima belum diperincikan. - Agensi