Isu diploma Gibran cetus desakan pemecatan, masa depan politik terancam

Iklan
Gibran. Foto: Agensi

JAKARTA - Kedudukan Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka kembali menjadi perhatian selepas Mahkamah Perlembagaan menolak permohonan untuk menyingkirkannya daripada jawatan, namun pada masa sama mendapati tiada bukti meyakinkan bahawa beliau memenuhi syarat minimum kelayakan pendidikan.

Keputusan pada Selasa itu membolehkan anak bekas Presiden Joko Widodo terus memegang jawatan, tetapi mencetuskan persoalan baharu mengenai kesahihan kelayakan akademiknya serta masa depan politik beliau.

Iklan
Iklan

Menurut laporan South China Morning Post (SCMP), mahkamah menolak petisyen berkenaan atas alasan pemohon tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Presiden 2024 kerana mereka bukan calon yang bertanding.

Ketua Hakim, Suhartoyo ketika menyampaikan keputusan menegaskan bahawa permohonan tersebut tidak boleh diterima.

Iklan

Bagaimanapun, mahkamah turut menyatakan tiada bukti meyakinkan menunjukkan Gibran memiliki diploma atau sijil pendidikan luar negara yang setaraf dengan kelulusan sekolah menengah atas, sebagaimana diwajibkan undang-undang pilihan raya Indonesia.

Kontroversi yang digelar 'Diploma-gate Gibran' itu tercetus selepas 12 pemohon diketuai pakar undang-undang perlembagaan, Denny Indrayana memfailkan petisyen pada 10 September lalu.

Iklan

Mereka mendakwa sijil penyetaraan kelayakan pendidikan Gibran telah dimanipulasi, sekali gus mempertikaikan kesahihan pencalonannya sebagai Naib Presiden ketika Pilihan Raya 2024.

Gibran sebelum ini mengikuti persekolahan di Orchid Park Secondary School, Singapura sebelum menyambung program persediaan pengajian di UTS Insearch, Australia.

Beliau kemudian memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang pemasaran daripada University of Bradford, United Kingdom melalui Management Development Institute of Singapore pada 2010.

Peguam yang mewakili pemohon, Refly Harun menyifatkan keputusan mahkamah sebagai perkembangan luar biasa kerana kedua-dua pihak mempunyai sebab untuk meraikannya.

"Pihak defendan gembira kerana beliau masih dapat mengekalkan jawatan Naib Presiden, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Refly turut menggesa Gibran meletakkan jawatan susulan dapatan mahkamah tersebut.

Sementara itu, pakar undang-undang pentadbiran, Bivitri Susanti berpandangan keputusan berkenaan membuka ruang kepada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) untuk memulakan proses pemecatan terhadap Gibran.

Menurutnya, agensi penguatkuasaan undang-undang juga wajar menyiasat dakwaan pemalsuan dokumen pendidikan bagi menentukan sama ada terdapat asas untuk tindakan lanjut.

"Bola kini berada di gelanggang ahli politik," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai Advocators For Upholding National Ethics, Morals and Integrity turut membuat laporan polis terhadap Gibran pada Rabu atas dakwaan memalsukan rekod akademiknya.

Bagaimanapun, penganalisis politik Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura, Made Supriatma menjangkakan Presiden Prabowo Subianto tidak akan membiarkan isu berkenaan berkembang menjadi krisis politik yang boleh menggugat kestabilan pentadbirannya.

Menurutnya, proses pemecatan terhadap Naib Presiden berpotensi membawa implikasi politik yang sukar dijangka.

"Implikasi daripada proses pemecatan terlalu tidak menentu dan berisiko terhadap pentadbiran beliau," jelasnya.

Prabowo setakat laporan itu diterbitkan belum memberikan sebarang ulasan terbuka mengenai kontroversi tersebut.

Dalam pada itu, penganalisis turut berbeza pandangan mengenai sama ada keputusan mahkamah boleh menjejaskan kelayakan Gibran untuk bertanding semula dalam pilihan raya akan datang.

Bivitri berpandangan kontroversi tersebut boleh menjejaskan keyakinan parti politik untuk mencalonkan Gibran, manakala penyelidik Saiful Mujani Research and Consulting, Saidiman Ahmad berpendapat beliau masih berpeluang bertanding sekiranya memperoleh pengesahan kesetaraan kelayakan pendidikan yang sah.

Saidiman turut mempersoalkan kewajaran syarat pendidikan formal dijadikan ukuran kelayakan pemimpin politik kerana pendekatan sedemikian berpotensi mengehadkan penyertaan demokratik.

Gibran bagaimanapun menafikan dakwaan bahawa beliau tidak menamatkan pendidikan menengah.

"Jika saya tidak menamatkan sekolah menengah, bagaimana saya boleh melanjutkan pengajian ke universiti?

"Perlu diingat bahawa saya menamatkan pengajian tinggi di Singapura," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Walaupun kedudukannya sebagai Naib Presiden kekal buat masa ini, kontroversi berkenaan dijangka terus menjadi cabaran terhadap reputasi dan perjalanan politik Gibran. - Agensi