Prabowo tangkis ramalan 'Indonesia bakal runtuh setiap bulan'

Iklan
Prabowo. Foto: Agensi

JAKARTA - Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menepis ramalan negatif yang berulang kali mendakwa negaranya bakal mengalami keruntuhan, sambil menegaskan bahawa masa depan republik itu sebenarnya semakin cerah.

Menurutnya, dakwaan mengenai kemungkinan Indonesia mengalami keruntuhan sering dibangkitkan hampir setiap bulan, namun perkembangan semasa negara itu menunjukkan keadaan sebaliknya.

Iklan
Iklan

"Mereka yang mengatakan Indonesia sedang menuju kegelapan dan akan runtuh, setiap bulan meramalkan kita akan runtuh.

Menurut laporan Kompas.com, Prabowo berkata, beliau tidak melihat sebarang petanda yang menggambarkan masa depan Indonesia semakin suram, sebaliknya menyaksikan perkembangan positif dalam sektor perindustrian negara.

Iklan

Malah, beliau menjadikan semangat pekerja yang menyambut kehadirannya sebagai gambaran keyakinan terhadap hala tuju pembangunan republik itu.

"Saya disambut oleh pekerja dengan penuh semangat dan wajah mereka semuanya ceria. Saya tidak melihat sesiapa yang tidak ceria hari ini," katanya.

Iklan

Prabowo menegaskan bahawa pencapaian dalam sektor perindustrian, khususnya eksport bateri kenderaan elektrik, membuktikan dasar hiliran industri yang dilaksanakan kerajaan berada pada landasan tepat.

Beliau turut memberikan komitmen untuk meneruskan dasar berkenaan bagi memastikan pembangunan ekonomi Indonesia dapat diperkukuh.

Menurutnya, usaha membangunkan sesebuah negara bukan proses singkat, sebaliknya merupakan perjuangan panjang yang memerlukan kesinambungan daripada satu generasi kepada generasi berikutnya.

"Pembangunan negara adalah perjalanan panjang. Ini sebahagian daripada perjalanan tersebut.

"Kita mengambil tenaga dan semangat daripada masa lalu serta menggerakkan semangat hari ini untuk melangkah lebih jauh pada masa depan," ujarnya.

Dalam pada itu, Prabowo mengakui Indonesia masih perlu menghadapi pelbagai cabaran untuk mencapai matlamat pembangunan negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa cabaran tersebut bukan alasan untuk memperlahankan usaha kerajaan memajukan republik itu.

"Semakin hampir kita mencapai cita-cita, semakin berat cabarannya.

"Namun, kita sudah biasa menghadapi cabaran dan kita berani menghadapinya," tegasnya. - Agensi