RCI bukan jaminan LCS siap segera - Mohamed Khaled

Iklan
Mohamed Khaled hadir Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Felda Air Tawar 3.

KOTA TINGGI - Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kelewatan projek kapal tempur pesisir (LCS) bukan jaminan aset berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, keutamaan ketika ini adalah memastikan syarikat pembuat kapal memberikan komitmen penuh untuk menyiapkan projek berkenaan mengikut perancangan.

Iklan
Iklan

"Mantan Panglima Tentera Laut yang menjadi Pengerusi Boustead Naval Shipyard sudah dihadapkan ke mahkamah, sudah didakwa.

"Jadi, soal kapal LCS 1 siap atau tidak bukan bergantung kepada RCI, itu soal lain. Sebab itulah kita minta supaya pembuat kapal sekarang menyegerakan dan memastikan tiada lagi kelewatan," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Tuaian Pertama Halia KayTi JanaVeteran dan Pelancaran JanaKomuniti di Felda Air Tawar 3 di sini, Ahad.

Sebelum ini, media melaporkan gesaan supaya kerajaan mempercepatkan siasatan berhubung isu LCS dan tidak hanya bergantung kepada penubuhan RCI.

Iklan

Projek berkenaan yang berlarutan selama 13 tahun memerlukan perhatian serius, terutama dalam memastikan kelewatan yang berlaku tidak terus menjejaskan perolehan aset pertahanan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan beberapa negara yang dikenal pasti sebagai pembekal berpotensi bagi menggantikan peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) buatan Norway.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan LCS 1 yang dijadualkan diterima tahun depan dilengkapi persenjataan sepenuhnya, termasuk peluru berpandu permukaan ke permukaan.

“Kapal berkenaan sudah mempunyai peluru berpandu permukaan ke udara, sistem peluru berpandu antikapal selam dan sistem gangguan elektromagnetik (jamming).

"Kelengkapan penuh maksud saya dengan peluru berpandu permukaan ke permukaan, tetapi masih belum ada sekarang,” ujarnya.