IPOH - Semua institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Perak akan beroperasi seperti biasa mulai Isnin.
Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di semua stesen pemantauan negeri berada di bawah paras 150.
"Bacaan IPU setakat jam 2 petang pada Ahad menunjukkan keadaan jerebu di negeri ini masih terkawal.
"Sehubungan itu, semua institusi pendidikan bawah KPM di negeri Perak akan beroperasi seperti biasa mulai 12 Oktober 2026," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak akan terus memantau perkembangan bacaan IPU dari semasa ke semasa dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).
Menurutnya, sebarang tindakan susulan akan dilaksanakan berdasarkan garis panduan serta arahan KPM bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid serta seluruh warga pendidikan sentiasa terpelihara.
"Ibu bapa dan penjaga diminta sentiasa peka terhadap perkembangan semasa serta mengikuti makluman rasmi yang dikeluarkan JPN Perak," katanya.
Pada Jumaat, semua sekolah di daerah Kinta dan Kuala Kangsar ditutup serta-merta susulan bacaan IPU tidak sihat mencecah 180 di stesen pemantauan CA11A di Tasek, Ipoh pada jam 11 pagi.
Penutupan itu dibuat susulan keadaan jerebu yang melanda negara ketika itu.