Sukan tradisional, moden satukan masyarakat pelbagai kaum

Iklan
Haslina (tengah) menyempurnakan Majlis Perasmian Liga Sukan Uniti 2026 Peringkat Zon Utara di D’ Futsal Centre, Kangar pada Ahad.

KANGAR - Gabungan sukan rakyat tradisional dan sukan moden menerusi Liga Sukan Uniti (LSU) menjadi platform untuk memelihara warisan budaya selain mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, penganjuran program itu bukan sekadar menggalakkan masyarakat aktif bersukan, malah membuka ruang kepada rakyat untuk berinteraksi dan membina persefahaman tanpa mengira kaum, agama dan usia.

Iklan
Iklan

Menurutnya, LSU yang memasuki edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2022 itu merupakan antara program utama kementerian dalam memperkukuh perpaduan melalui aktiviti kesukanan berasaskan komuniti.

“Program ini bukan sahaja menjadi medan untuk mencungkil bakat sukan, tetapi kita mahu masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat bersama-sama dalam satu program yang mampu mengeratkan hubungan antara mereka.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Liga Sukan Uniti 2026 Peringkat Zon Utara di sini pada Ahad.

Penganjuran LSU Zon Utara kali ini menampilkan kelainan apabila menggabungkan sukan rakyat tradisional yang diadakan di kawasan bersejarah Muzium Kota Kayang dan sukan moden pula di D’ Futsal Centre.

Iklan

Haslina berkata, sebanyak 13 jenis sukan rakyat tradisional diperkenalkan bagi menghidupkan semula permainan warisan yang mungkin semakin dilupakan, selain menggalakkan penyertaan keluarga dalam aktiviti berkenaan.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan generasi muda mengenali permainan tradisional, di samping memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai aktiviti sukan yang diminati.

“Permainan rakyat yang pernah popular suatu ketika dahulu kita bawa kembali untuk menyemarakkan semangat perpaduan.

“Kita juga menggalakkan keluarga datang bersama-sama supaya aktiviti ini bukan sekadar pertandingan, tetapi menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” ujarnya.

Beliau berkata, sambutan terhadap LSU Zon Utara menggalakkan dengan kira-kira 1,000 peserta menyertai aktiviti pada hari pertama, manakala keseluruhan penganjuran zon itu menyasarkan penyertaan sekitar 2,000 orang.

Katanya, pada hari terakhir penganjuran, sebanyak 22 pasukan futsal dan 10 pasukan bola jaring mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.

Mengulas keberkesanan program itu, Haslina berkata, penyertaan peserta daripada pelbagai kaum dalam pasukan yang sama menunjukkan sukan mampu menjadi medium yang menyatukan masyarakat secara semula jadi.

“Dalam satu pasukan futsal, misalnya, kita dapat melihat peserta dari kaum Melayu, Cina dan India bermain bersama-sama.

“Apabila mereka duduk dan bermain bersama, kemesraan itu terbentuk tanpa mengira latar belakang masing-masing. Itulah elemen perpaduan yang kita mahu bawa melalui program ini,” katanya.

Beliau berkata, LSU turut dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon di seluruh negara dengan sasaran penyertaan keseluruhan melebihi 20,000 orang.

Selepas Zon Tengah di Kuala Lumpur pada September lalu, program itu diteruskan di Zon Timur di Terengganu, Zon Utara di Perlis, diikuti Sabah dan Sarawak sebelum berakhir di Zon Selatan di Negeri Sembilan.

Haslina berkata, kementerian berharap program berkenaan dapat diteruskan pada tahun hadapan bagi memastikan sukan terus menjadi wadah yang mendekatkan masyarakat khususnya golongan muda.