KULIM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail enggan mengulas lanjut dakwaan seorang lelaki Rohingya menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dari Malaysia kerana tiada bukti kukuh berhubung perkara itu.
Menurutnya, sebarang dakwaan perlu disertakan bukti kukuh dan jelas sebelum beliau memberikan maklum balas.
"Saya tak mahu respon kepada khabar atau dakwaan. Kalau ada suatu hujah yang kuat, bukti yang terang, baru saya boleh respon.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Wacana Nasional Surah Al-Hujurat: Teras Keharmonian dan Keselamatan Negara, di sini, pada Sabtu.
Sebelum ini, pempengaruh media sosial, Isa Isarb memuat naik kandungan melawat perkampungan etnik Rohingya di Cox's Bazar dan menemu bual lelaki yang mengaku menggunakan pasport Bangladesh untuk keluar dari Malaysia.
Berdasarkan dakwaan lelaki tersebut, dia mengakui tidak mempunyai kad UNHCR ketika berada di Malaysia.
Dia bagaimanapun meminta bantuan ibu bapa yang berada di Bangladesh sebelum menyediakan pasport dengan pihak Imigresen bagi membolehkannya balik ke negara itu.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan berhubung dakwaan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, mengasari dua anggota polis.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu sudah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum dipulangkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut.
Katanya, kertas siasatan itu mengandungi keterangan saksi serta bukti lain yang dikumpulkan sepanjang proses siasatan dijalankan.
"Itu prosedur siasatan biasa. Pada tahap ini, tidak ada ulasan daripada pihak saya melainkan saya serahkan kepada pihak berkenaan," katanya.