KUALA TERENGGANU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu bersiap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijadualkan bermula November ini hingga Mac depan.
Pengarahnya, Nor Mahathir Muhammad berkata, langkah persediaan awal telah digerakkan secara menyeluruh merangkumi pengaktifan operasi MTL di semua balai bomba bagi memastikan aset, peralatan dan logistik berada pada tahap optimum.
Menurutnya, jabatan berkenaan memperuntukkan kekuatan seramai 1,036 anggota dan 79 aset kenderaan darat serta marin bagi mendepani sebarang kemungkinan berlakunya banjir atau bencana sepanjang tempoh tengkujuh, terutamanya dengan ramalan pembentukan tiga gelombang hujan.
"Jumlah aset itu merangkumi 34 kenderaan darat dan 45 bot yang akan digunakan untuk membantu operasi menyelamat, pemindahan mangsa serta penghantaran bantuan ke kawasan terjejas.
"Persediaan ini penting bagi memastikan segala keperluan operasi dapat dipenuhi sepanjang musim tengkujuh, khususnya apabila berdepan situasi kecemasan dan bencana banjir," katanya ketika meninjau persiapan di Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu di sini pada Ahad.
Nor Mahathir berkata, pemeriksaan teliti terhadap aset dan peralatan turut dilaksanakan lebih awal bagi mengenal pasti sebarang kerosakan supaya tindakan pembaikan dapat diselesaikan segera sebelum ketibaan kemuncak monsun, selaras dengan jangkaan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai fasa peralihan monsun yang bakal berakhir penghujung Oktober ini.
Mengulas lanjut mengenai kekuatan anggota, beliau berkata, seramai 1,036 anggota yang digerakkan terdiri daripada 652 pegawai bomba sepenuh masa, 109 pegawai bomba bantuan dan 275 anggota Pasukan Bomba Sukarela daripada 11 pasukan.
Selain itu, katanya, JBPM Terengganu turut memberi tumpuan kepada pemantauan di 460 kawasan berisiko banjir merangkumi lapan daerah di negeri ini, dengan semua balai diarah meneruskan rondaan berkala berdasarkan data yang diselaraskan bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Bagi memastikan kelancaran pengurusan bencana, kita turut mengaktifkan Pusat Gerakan Operasi Bencana Negeri, menggerakkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) dengan sokongan 16 pegawai kanan penyelaras, serta bersedia memanfaatkan Regional Forward Base (RFB) di Wilayah Tengah sekiranya memerlukan bantuan logistik tambahan dari luar negeri," ujarnya.