KUALA LUMPUR – Sebanyak 80,000 hingga 90,000 percubaan serangan siber dikesan dan ditangkis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap hari bagi melindungi pangkalan data serta maklumat yang dikendalikan agensi penguatkuasaan itu.
Pengarah Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat SPRM, Zuhairie Abu Bakar berkata, maklumat yang dikendalikan suruhanjaya itu mempunyai nilai tinggi dan sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman digital.
"Ketika ini, Bahagian Pengurusan Rekod dan Maklumat (BPRM) mengesan dan menangkis secara purata antara 80,000 hingga 90,000 percubaan serangan siber setiap hari.
"Angka ini memberikan gambaran jelas bahawa maklumat yang dikendalikan oleh SPRM mempunyai nilai tinggi dan sentiasa terdedah kepada pelbagai bentuk ancaman," katanya dalam artikel mengenai pengurusan maklumat SPRM.
Menurutnya, ancaman keselamatan maklumat bukan sahaja melibatkan serangan siber, malah turut merangkumi percubaan mendapatkan akses tanpa kebenaran dan kecurian data.
Justeru, BPRM melaksanakan pendekatan pertahanan berlapis melalui pelbagai mekanisme keselamatan bagi melindungi pangkalan data serta maklumat SPRM.
"Pendekatan pertahanan berlapis dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme seperti Pengesahan Pelbagai Faktor (Multi-Factor Authentication – MFA), sistem keselamatan rangkaian seperti firewall, pemantauan sistem secara masa nyata (real-time monitoring), penyulitan data dan ujian tahap keselamatan sistem aplikasi secara berkala serta pengujian sebelum sesuatu sistem aplikasi diluluskan untuk digunakan," katanya.
Beliau berkata, kebocoran maklumat boleh menjejaskan kerahsiaan sesuatu operasi dan dalam keadaan tertentu berpotensi mengancam keselamatan saksi serta memberi amaran kepada pihak yang sedang disiasat.
Menurutnya, pendedahan maklumat sebelum waktunya juga boleh memberi peluang kepada pihak tertentu menghapuskan dokumen, mengubah jejak transaksi atau mempengaruhi individu yang berkaitan dengan siasatan.
"Lebih membimbangkan, pendedahan sesuatu maklumat pramatang boleh memberi peluang kepada pihak tertentu mengambil tindakan untuk menghapuskan dokumen, mengubah jejak transaksi atau mempengaruhi pihak yang berkaitan," katanya.
Tambahnya, penyebaran maklumat berkaitan sesuatu kes secara meluas turut berpotensi mendedahkan saksi kepada tekanan atau pengaruh, sekali gus menyukarkan proses pengumpulan bukti dan mendapatkan keterangan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan rasuah atau salah laku disaran menyalurkannya kepada SPRM melalui saluran rasmi dan bukannya menularkannya di media sosial.
"Jika mempunyai maklumat berkaitan rasuah atau salah laku, salurkan secara rasmi kepada pihak berkuasa dan bukan menularkannya di media sosial.
"Setiap aduan yang diterima perlu melalui proses saringan, penelitian dan penilaian berdasarkan fakta serta bidang kuasa sebelum tindakan bersesuaian ditentukan," katanya.
Menurutnya, pengurusan maklumat yang sistematik, selamat dan terkawal penting bagi memastikan maklumat tidak disalahgunakan atau terdedah kepada pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus membantu memelihara integriti dan keberkesanan penguatkuasaan SPRM.