MALAYSIA sedang berhadapan dengan satu perubahan demografi yang tidak boleh dipandang ringan. Bilangan warga emas semakin meningkat, sedangkan saiz keluarga semakin kecil dan corak kehidupan masyarakat terus berubah.
Dalam keadaan ini, persoalan penting yang perlu diberikan perhatian bukan sekadar bagaimana rakyat dapat hidup lebih lama, tetapi siapakah yang akan menjaga mereka apabila usia semakin lanjut dan tahap kesihatan mula merosot?
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk Malaysia berumur 60 tahun dan ke atas dianggarkan mencecah 4.2 juta orang pada 2026, bersamaan 12.3 peratus daripada keseluruhan penduduk negara.
Angka tersebut meningkat daripada 4.1 juta orang atau 12.0 peratus pada 2025.
Sementara itu, penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat daripada 8.0 peratus pada 2025 kepada 8.4 peratus pada 2026, melibatkan kira-kira 2.9 juta orang.
Perubahan ini memperlihatkan bahawa Malaysia sedang bergerak ke arah struktur penduduk yang semakin menua.
Peningkatan jangka hayat merupakan pencapaian pembangunan yang wajar dihargai. Namun, kehidupan lebih panjang turut membawa keperluan baharu, khususnya apabila seseorang mengalami masalah kesihatan atau kehilangan keupayaan untuk menguruskan kehidupan harian.
Dalam konteks ini, Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu memberikan perhatian terhadap persediaan negara menghadapi masyarakat menua.
Persoalannya, sejauh manakah langkah yang diumumkan mampu menangani cabaran penjagaan warga emas yang semakin kompleks?
Belanjawan 2027 membuka ruang penambahbaikan
Antara pengumuman penting ialah peruntukan lebih RM40 juta melalui HRD Corp untuk melatih 8,000 individu dalam sektor penjagaan warga emas.
Kerajaan turut mengumumkan pembangunan dua Pusat Kepakaran Penjagaan Bersepadu (NICE) di Pulau Pinang dan Sarawak bagi tujuan latihan, penyelidikan dan penjagaan.
Selain itu, peruntukan bantuan warga emas ditingkatkan kepada RM1.3 bilion bagi manfaat hampir 200,000 penerima. Kerajaan juga mengumumkan hasrat menggubal Rang Undang-undang Warga Emas untuk menangani pengabaian dan memperkukuh ekosistem penjagaan.
Dari aspek percukaian, kadar cukai perkhidmatan penjagaan warga emas akan diturunkan daripada lapan kepada enam peratus mulai 1 Januari 2027, selain pengecualian penuh bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun.
Langkah-langkah ini menunjukkan bahawa isu penjagaan warga emas semakin mendapat tempat dalam perancangan negara.
Namun, dari perspektif kesejahteraan sosial, persoalan yang lebih penting adalah bagaimana pelbagai inisiatif tersebut dapat diselaraskan supaya warga emas dan keluarga benar-benar memperoleh perkhidmatan yang diperlukan.
Tidak semua warga emas memerlukan penjagaan sepenuh masa
Apabila membincangkan 4.2 juta warga emas, masyarakat mungkin membayangkan peningkatan besar keperluan pusat jagaan atau rumah orang tua.
Sebenarnya, tidak semua individu berumur 60 tahun dan ke atas memerlukan penjagaan sepenuh masa. Ramai yang masih sihat, bekerja, menjalankan perniagaan, menjaga cucu dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan.
Namun, sebahagian warga emas mungkin mengalami penyakit kronik, masalah pergerakan, kemerosotan ingatan atau kesukaran melakukan aktiviti harian seperti mandi, berpakaian dan menyediakan makanan.
Perbezaan ini penting kerana perancangan penjagaan tidak boleh berasaskan jumlah warga emas semata-mata.
Negara perlu mengetahui berapa ramai warga emas yang masih berdikari, memerlukan bantuan berkala atau bergantung sepenuhnya kepada orang lain.
Maklumat mengenai tahap keupayaan menjalankan aktiviti harian, keadaan kesihatan, status tempat tinggal dan sokongan keluarga perlu menjadi asas perancangan.
Tanpa data keperluan penjagaan yang mencukupi, peningkatan peruntukan sahaja belum tentu dapat memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang paling memerlukannya.
Apabila anak bekerja, siapa menjaga ibu bapa?
Dalam masyarakat Malaysia, tanggungjawab menjaga ibu bapa yang semakin berusia sering dianggap sebagai sebahagian daripada kewajipan kekeluargaan.
Nilai ini amat penting dan perlu terus dipelihara. Namun, realiti keluarga masa kini semakin berbeza.
Saiz keluarga yang semakin kecil bermakna tanggungjawab penjagaan mungkin terpaksa dikongsi oleh bilangan anak yang lebih sedikit.
Pada masa yang sama, ramai anak dewasa bekerja sepenuh masa, tinggal berjauhan atau mempunyai tanggungjawab membesarkan anak sendiri.
Keadaan ini mewujudkan tekanan kepada golongan yang dikenali sebagai generasi sandwic, iaitu mereka yang perlu menjaga anak dan ibu bapa berusia secara serentak.
Bayangkan seorang wanita bekerja yang perlu menghantar anak ke sekolah, menguruskan tugasan pejabat dan pada masa yang sama, membawa ibunya yang uzur mendapatkan rawatan.
Jika keadaan kesihatan ibu semakin merosot, beliau mungkin terpaksa mengambil cuti berulang kali, mengurangkan waktu bekerja atau meninggalkan pekerjaan.
Situasi ini bukan sahaja boleh menjejaskan pendapatan keluarga, tetapi juga memberikan kesan kepada kesejahteraan emosi penjaga.
Justeru, isu penjagaan warga emas tidak boleh dianggap sebagai tanggungjawab peribadi keluarga semata-mata.
Keluarga sememangnya memainkan peranan utama, tetapi mereka juga memerlukan sokongan sosial dan perkhidmatan penjagaan yang mudah diakses.
Penjaga keluarga juga perlu dijaga
Satu kelemahan yang wajar diberikan perhatian dalam pembangunan sistem penjagaan ialah keperluan penjaga tidak formal, khususnya ahli keluarga yang memberikan penjagaan tanpa menerima bayaran.
Golongan ini mungkin menjaga warga emas selama bertahun-tahun tanpa latihan khusus atau bantuan yang mencukupi. Penjagaan individu yang mengalami demensia, misalnya memerlukan kesabaran, pengetahuan dan kemahiran tertentu.
Begitu juga dengan penjagaan warga emas terlantar yang memerlukan bantuan untuk bergerak, makan atau menguruskan kebersihandiri. Tanpa sokongan yang sesuai, penjaga berisiko mengalami keletihan fizikal, tekanan emosi dan masalah kewangan.
Oleh itu, sudah tiba masanya Malaysia memberikan perhatian lebih serius terhadap pembangunan sistem sokongan penjaga keluarga. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah latihan asas penjagaan, kaunseling, panduan pengurusan penyakit kronik dan perkhidmatan penjagaan sementara atau respite care.
Perkhidmatan ini membolehkan penjaga utama mendapatkan bantuan untuk tempoh tertentu supaya mereka mempunyai ruang berehat atau menguruskan keperluan peribadi.
Majikan juga boleh memainkan peranan melalui pengaturan kerja fleksibel yang munasabah bagi pekerja yang mempunyai tanggungjawab penjagaan.
Hakikatnya, menjaga kesejahteraan penjaga keluarga merupakan sebahagian daripada usaha memastikan warga emas menerima penjagaan berkualiti.
Latihan 8,000 penjaga perlu disusuli jaminan kualiti
Pengumuman latihan 8,000 individumelalui HRD Corp merupakan perkembangan yang penting dalam pembangunan tenaga kerja penjagaan.
Walau bagaimanapun, bilangan peserta latihan sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan kesiapsiagaan sektor ini. Persoalan yang perlu diteliti termasuk kandungan latihan, tahap kompetensi, pengiktirafan kelayakan dan peluang pekerjaan selepas tamat latihan.
Penjagaan warga emas bukan sekadar membantu menyediakan makanan atau membersihkan tempat tinggal. Ia turut memerlukan kefahaman mengenai proses penuaan, pencegahan risiko jatuh, pemakanan, komunikasi dan pengendalian warga emas yang mempunyai keperluan khusus.
Oleh itu, latihan perlu disokong oleh standard kompetensi, penilaian kemahiran dan peluang peningkatan profesional yang berterusan. Pada masa yang sama, kebajikan pekerja penjagaan juga perlu diberikan perhatian.
Sekiranya pekerjaan dalam sektor ini menawarkan pendapatan yang tidak setimpal, perlindungan pekerjaan yang lemah atau beban tugas berlebihan, usaha menarik dan mengekalkan tenaga penjagaan berkualiti akan menjadi lebih mencabar.
Malaysia memerlukan tenaga penjagaan yang bukan sahaja mencukupi dari segi bilangan, tetapi juga terlatih, dihargai dan mampu membina kerjaya secara berterusan.
Penjagaan jangka panjang perlu menjadi keutamaan
Satu perkara yang perlu diberikan penekanan ialah pembangunan sistem penjagaan jangka panjang atau long-term care.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penjagaan jangka panjang merangkumi pelbagai bentuk bantuan kesihatan dan sosial kepada individu yang mengalami kemerosotan keupayaan untuk menjalankan aktiviti kehidupan harian.
Perkhidmatan ini tidak semestinya melibatkan penempatan di rumah jagaan. Ia juga boleh merangkumi penjagaan di rumah, pusat jagaan harian, pemulihan, bantuan mobiliti dan sokongan komuniti.
Dalam konteks Malaysia, pembangunan sistem sedemikian perlu mengambil kira kemampuan kewangan keluarga dan perbezaan akses antara kawasan bandar dengan luar bandar.
Tidak semua keluarga mampu membayar perkhidmatan penjagaan swasta, khususnya apabila penjagaan diperlukan selama bertahun-tahun.
Oleh itu, pengurangan cukai perkhidmatan yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 merupakan satu langkah yang boleh membantu mengurangkan sebahagian kos bagi perkhidmatan yang tertakluk kepada cukai tersebut.
Namun, penjimatan cukai tidak semestinya menyelesaikan keseluruhan masalah kemampuan membayar, khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah.
Kerajaan wajar meneliti pilihan pembiayaan penjagaan jangka panjang yang lebih mampan, termasuk bantuan bersasar, subsidi perkhidmatan komuniti dan perkongsian tanggungjawab antara sektor awam dengan swasta.
Perlindungan warga emas perlu disertai pelaksanaan berkesan
Cadangan menggubal Rang Undang-undang Warga Emas turut membuka ruang penting untuk memperkukuh perlindungan terhadap golongan ini.
Isu pengabaian, penderaan, eksploitasi kewangan dan penjagaan yang tidak selamat memerlukan mekanisme pencegahan serta tindakan yang jelas.
Namun, undang-undang sahaja tidak mencukupi jika masyarakat tidak mengetahui saluran mendapatkan bantuan atau agensi berkaitan tidak mempunyai kapasiti untuk bertindak.
Oleh itu, pembangunan perundangan perlu disertai mekanisme aduan yang mudah diakses, sistem rujukan kes dan penyelarasan antara perkhidmatan kesihatan, kebajikan serta penguatkuasaan.
Pada masa yang sama, pendekatan perlindungan perlu menghormati maruah, autonomi dan hak warga emas untuk terlibat dalam keputusan mengenai kehidupan mereka.
Sudah tiba masanya penjagaan menjadi tanggungjawab bersama
Rancangan Malaysia Ketiga Belas (2026–2030) turut memberikan penekanan terhadap pembentukan ekosistem penjagaan jangka panjang yang mampan, selaras dengan Pelan Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025–2045.
Kerangka dasar ini menyediakan asas penting, tetapi kejayaannya bergantung pada pelaksanaan yang dapat dirasai oleh masyarakat.
Dalam hal ini, Malaysia perlu bergerak daripada pendekatan penjagaan yang terlalu bergantung kepada kemampuan keluarga kepada sistem yang lebih tersusun dan berkongsi tanggungjawab.
Kerajaan menyediakan dasar dan perlindungan, sektor penjagaan menawarkan perkhidmatan berkualiti, majikan menyokong pekerja yang mempunyai tanggungjawab keluarga, manakala komuniti membantu mengurangkan pengasingan sosial warga emas.
Kita juga perlu memastikan warga emas yang masih sihat terus mempunyai peluang menjalani kehidupan aktif dan berdikari selama mungkin. Belanjawan 2027 telah menggariskan beberapa langkah ke arah memperkukuh penjagaan warga emas.
Namun, persoalan sebenar bukan sekadar berapa ramai penjaga berjaya dilatih atau berapa banyak bantuan diperuntukkan. Yang lebih penting ialah sama ada warga emas yang memerlukan bantuan dapat menerima penjagaan yang selamat, berkualiti dan mampu dibiayai, tanpa menyebabkan keluarga mereka menanggung beban yang tidak tertanggung.
Akhirnya, penuaan penduduk bukan semata-mata cabaran kepada kerajaan atau institusi penjagaan, tetapi tanggungjawab seluruh masyarakat.
Malaysia tidak seharusnya menunggu sehingga lebih ramai warga emas kehilangan keupayaan berdikari sebelum memperkukuh sistem penjagaan.
Dengan 4.2 juta rakyat sudah berusia 60 tahun dan ke atas, persediaan itu perlu dilakukan sekarang. Kerana ukuran sebenar sebuah negara yang maju bukan sekadar kemampuan rakyatnya hidup lebih lama, tetapi bagaimana negara tersebut memastikan mereka terus dijaga dengan penuh hormat, kasih sayang dan bermaruah.
*Nik Norliati Fitri Md Nor ialah Pensyarah Kanan, Pakar Demografi dan Penuaan Penduduk, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia