Asia Influencer Award sasar lonjak peluang niaga rentas negara

Iklan
Dr Gavin (kanan) bersama pemenang City Leadership Award, Cindi King Chan (dua dari kanan) sempena Asia Influential Award 2026 di Kuala Lumpur pada Jumaat.

KUALA LUMPUR - Asia Influencer Award 2026 bukan sekadar platform mengiktiraf pencapaian usahawan, sebaliknya membuka ruang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menembusi pasaran antarabangsa menerusi jaringan perniagaan rentas negara.

Ketua Penasihat Antarabangsa Asia Influential Award 2026, Dr Gavin Voon Shih Chin berkata, penganjuran sesi rangkaian perniagaan itu bertujuan memastikan penerima anugerah mendapat manfaat berterusan, khususnya dalam membina hubungan strategik dengan rakan perniagaan dari luar negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, platform berkenaan kini menghubungkan usahawan dari 24 negara berbanding 11 negara pada peringkat awal, sekali gus mendorong penganjuran tahun ini berkembang daripada ASEAN Influencer Award kepada Asia Influential Award.

"Tahun lalu, kami menganjurkan ASEAN Influencer Award kerana Malaysia menjadi negara tuan rumah bagi peringkat ASEAN. Tahun ini, kami mengembangkannya kepada Asia Influencer Award kerana jaringan negara yang dihubungkan kini meningkat kepada 24 negara.

Iklan

"Antara negara yang menyertai sesi hari ini (Jumaat) termasuk India, Jepun, Korea Selatan dan Qatar," katanya ketika ditemui pada sesi rangkaian perniagaan Asia Influencer Award 2026 di sini.

Dr Gavin berkata, pendekatan itu membezakan platform berkenaan daripada penganjuran anugerah lain yang lazimnya berakhir selepas majlis penyampaian pengiktirafan tanpa menyediakan ruang susulan untuk penerima membina hubungan perniagaan.

Iklan

Katanya, PKS tempatan berdepan cabaran untuk menembusi pasaran luar negara berikutan kekangan dari segi rangkaian perniagaan dan sumber pemasaran, justeru hubungan yang dibina menerusi platform itu mampu membantu mereka meneroka peluang baharu.

"Kami mempunyai pengarah kebangsaan dari pelbagai negara yang memiliki sumber dan jaringan masing-masing untuk membantu PKS Malaysia mengembangkan perniagaan di pasaran mereka.

"Melalui sesi ini, peserta boleh berbincang mengenai potensi kerjasama dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sekiranya terdapat kesesuaian," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, penandatanganan MoU bukan sekadar memenuhi keperluan formaliti, sebaliknya setiap kerjasama akan dipantau melalui tindakan susulan bagi memastikan kedua-dua pihak berpeluang merealisasikan projek, produk atau usaha niaga yang dipersetujui.

Menurutnya, sesi rangkaian perniagaan tahun ini menghimpunkan 35 penerima anugerah daripada dua kategori utama, iaitu individu dan korporat, dengan penyertaan tertumpu kepada sektor kecantikan, kesihatan dan teknologi.

Selain membuka peluang pengembangan perniagaan, katanya, platform itu turut memberi ruang kepada usahawan mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan pasaran tempatan dan antarabangsa bagi mengenal pasti peluang yang berpotensi dimanfaatkan.

"Sebagai pemilik perniagaan, mereka perlu mengetahui perkembangan semasa di dalam dan luar negara. Maklumat itu boleh mencetuskan idea baharu serta membantu mereka mengenal pasti peluang untuk mengembangkan perniagaan," katanya.

Mengulas potensi nilai perdagangan yang mampu dijana, Dr Gavin berkata, platform berkenaan berjaya menghubungkan peluang perniagaan bernilai RM3.05 juta pada tahun lalu, manakala sasaran bagi tahun ini adalah untuk mencatat nilai lebih tinggi.

Beliau berkata, jumlah penerima anugerah tidak ditetapkan secara khusus kerana keutamaan diberikan kepada kualiti calon dan kelayakan mereka, bukannya bilangan penerima yang dapat dihimpunkan setiap tahun.

Katanya, proses pemilihan dilaksanakan menerusi dua peringkat penilaian, bermula dengan pasukan audit yang meneliti keadaan operasi dan dokumentasi syarikat, sebelum calon dinilai oleh panel juri profesional termasuk profesor universiti.