CRISTIANO Ronaldo dilaporkan akan digantung oleh Persatuan Bola Sepak Portugal (FPF) selepas penyerang itu bertindak meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan susulan pertelingkahan dengan ketua jurulatih, Jorge Jesus.
Menurut laporan media antarabangsa, peraturan disiplin FPF menyebabkan penggantungan tersebut berkuat kuasa secara automatik selepas tindakan Ronaldo itu.
Bagaimanapun, tempoh sebenar penggantungan akan ditentukan oleh jawatankuasa disiplin dan boleh berlangsung antara sebulan hingga enam bulan.
Sekiranya penggantungan melebihi sebulan, Ronaldo berkemungkinan terlepas dua perlawanan Portugal seterusnya dalam Liga Negara-Negara menentang Denmark dan Wales.
Jawatankuasa disiplin dijangka meneliti keseluruhan insiden termasuk permohonan maaf yang dikemukakan Ronaldo.
Ronaldo dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, beliau memohon maaf kepada rakan sepasukan kerana meninggalkan kem latihan.
"Saya juga berhutang permohonan maaf kepada rakan sepasukan dalam skuad kebangsaan kerana meninggalkan kem.
"Walaupun berlaku pelanggaran jelas terhadap kepercayaan susulan kata-kata jurulatih, seperti yang boleh disahkan oleh mereka yang menyaksikan perbualan itu, saya sepatutnya tidak bertindak sedemikian," katanya.
Ronaldo setakat ini sudah membuat 234 penampilan bersama Portugal sejak melakukan penampilan sulung di peringkat antarabangsa, selain menjaringkan rekod 146 gol untuk skuad kebangsaan.