Sambutan hari jadi bertukar tragedi: ‘Ibu pesan jaga diri elok-elok, jaga adik’

Iklan
Ku Haris Zaquan (tengah) antara yang terkesan dengan kehilangan ibunya yang maut selepas motosikalnya terbabas di Jalan Kampung Tebuk Tengah di Arau pada Isnin.

ARAU - Pesanan Allahyarham Noryshah Umar, 47 supaya menjaga diri masih segar dalam ingatan anak keduanya, Ku Hekmar Dianel Ku Sofian, 21,sebelum wanita itu maut selepas motosikalnya terbabas di Jalan Kampung Tebuk Tengah di sini pada Isnin.

Menurut Ku Hekmar Dianel, ibunya menitipkan pesanan itu sebelum dia ke Langkawi baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Sebelum ini, media melaporkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang Isnin, mangsa dilaporkan maut selepas motosikal Yamaha Lagenda 115ZR yang ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebatang pokok.

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Iklan

Ku Hekmar Dianel berkata, arwah ibunya juga begitu teruja untuk menyambut ulang tahun kelahiran adik bongsu, Ku Haris Zaquan Ku Sofian yang juga pelajar Tingkatan Satu pada Isnin.

Menurutnya, arwah ibunya sempat membeli beberapa barang keperluan selepas pulang bekerja sebagai persiapan untuk meraikan hari istimewa tersebut.

Iklan

"Mak sebenarnya sangat teruja untuk menyambut hari lahir adik dan sudah merancang untuk memasak mi goreng serta mengadakan jamuan makan malam," ujarnya.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila wanita terbabit maut dalam tragedi itu sebelum sempat pulang ke rumah dan kehilangan tersebut memberikan kesan kepada Ku Haris Zaquan kerana hubungan mereka berdua rapat.

Dalam pada itu, Ku Hekmar Dianel juga berkata, arwah sudah berpisah dengan bapanya sejak dia berusia 10 tahun dan sejak itu banyak berkorban serta berusaha membesarkan mereka adik-beradik.

Walaupun masih bersedih dengan kehilangan tersebut, dia bersama kakak sulung akan memegang amanah arwah ibunya untuk menjaga adik bongsu mereka sebaik mungkin.

Jenazah Allahyarham Noryshah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat kira-kira jam 11 pagi pada Selasa selepas diimamkan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Guar Sanji, Adnan Fadhil.