KUALA NERUS - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkukuh peranan institusi pengajian tinggi dalam membina budaya inklusif serta menghapuskan stigma masyarakat terhadap komuniti orang kurang upaya (OKU) menerusi penganjuran program Walk With Me 2.0 (WWM 2.0).
Program berteraskan nilai kemasyarakatan anjuran Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa itu menghimpunkan kira-kira 1,200 peserta, termasuk lebih 200 individu OKU bersama penjaga masing-masing.
Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Fadzli Adam berkata, usaha memperkasa komuniti OKU adalah komitmen berterusan universiti dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat hak serta peluang yang saksama.
"Golongan OKU bukanlah kelompok yang harus dilihat semata-mata dari sudut kekurangan atau keterbatasan. Sebaliknya, mereka mempunyai bakat, kebolehan, aspirasi dan sumbangan tersendiri yang wajar diiktiraf serta diperkasakan," katanya.
Beliau turut berharap agar mahasiswa dapat menterjemahkan konsep keterangkuman menerusi tindakan dan interaksi sebenar, sekali gus membentuk perwatakan graduan holistik yang mempunyai jiwa empati yang tinggi.
Ujarnya, kejayaan penganjuran edisi kali ini turut menyerlahkan semangat kerjasama strategik antara pihak universiti bersama sektor korporat.
Sementara itu, Presiden APS, Azita Mohamad berkata, inisiatif berkenaan sebagai ruang berharga bagi anak-anak OKU mendapatkan aktiviti riadah bagi mengurangkan tekanan saraf, manakala Presiden POKUAT, Mohamad Zuki turut merakamkan penghargaan atas sokongan diberikan kepada ahli persatuan berkenaan.
Jelasnya lagi, program berkonsepkan solidariti ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif masa hadapan yang mengutamakan akses, penyertaan aktif, serta memastikan suara dan sumbangan komuniti OKU terus dihargai dalam arus pembangunan masyarakat.
"Anak-anak OKU ini amat memerlukan ruang riadah bagi membantu mengurangkan kesakitan serta tekanan saraf yang mereka alami. Sokongan daripada pihak universiti dan komuniti seperti ini memberikan impak yang amat positif buat perkembangan dan kesejahteraan mereka.
"Kita merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada UniSZA dan McDonald’s Malaysia kerana meraikan ahli-ahli POKUAT secara inklusif. Usaha murni ini memberikan suntikan semangat serta moral yang amat besar buat kami untuk terus sebati dalam masyarakat,” katanya.
Program berkenaan turut mendapat kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk Persatuan Kebajikan Anak Permata Syurga Terengganu (APS), Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT), Persatuan Orang Pekak Terengganu, PERTIS, pusat PDK, PPKI Kuala Nerus serta Kelab Siswa Siswi.