KUMPULAN Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) merancang menggerakkan modal domestik menerusi pelbagai pelaburan strategik, termasuk RM1.5 bilion melalui Dana Pemacu, RM1 bilion melalui Dana Iklim⁺ dan sehingga RM1 bilion bagi sektor semikonduktor Malaysia.
Melalui Dana Pemacu, KWAP merancang memperkukuh keupayaan pengurusan dana tempatan, menarik penyertaan modal swasta serta memperluas akses pembiayaan kepada syarikat Malaysia yang berada pada peringkat pertumbuhan.
KWAP turut merancang memperuntukkan RM200 juta melalui Dana Perintis bagi merancakkan ekosistem syarikat pemula niaga dan inovasi negara, manakala RM1 bilion melalui Dana Iklim⁺ akan digunakan bagi pelaburan berteraskan iklim untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia.
Bagi sektor semikonduktor pula, KWAP merancang memperuntukkan sehingga RM1 bilion dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan di sepanjang rantaian nilai.
Langkah berkenaan bertujuan memperteguh keupayaan industri tempatan dan meningkatkan daya saing industri Malaysia.
Dalam sektor pendidikan tinggi, KWAP merancang menyalurkan RM750 juta melalui Projek Vista Kampus bagi pembangunan kemudahan penginapan khusus pelajar di universiti awam dan swasta terpilih.
Selain itu, kerajaan bersama KWAP akan mewujudkan Dana UniVC bernilai RM50 juta bagi menyokong pengkomersialan hasil penyelidikan universiti serta menggalakkan penyertaan lebih banyak modal swasta dalam pembangunan inovasi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah berkata, pelaburan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha organisasi berkenaan menyokong pembangunan syarikat tempatan, memperkukuh sektor utama serta menarik penyertaan modal swasta.
Menurutnya, Belanjawan 2027 memperlihatkan peranan penting modal domestik jangka panjang sebagai pemangkin kemajuan ekonomi Malaysia.
"Bagi KWAP, keutamaan kami kekal tertumpu kepada pelaburan Dana Persaraan secara berhemat bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping meneroka peluang pelaburan yang sejajar dengan keutamaan pembangunan Kerajaan di bawah Ekonomi MADANI.
“Melalui penyaluran modal secara strategik dalam negara, kami berhasrat untuk menyokong pembangunan syarikat tempatan, memperkasa sektor-sektor utama serta menggalakkan penyertaan modal swasta," katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, selain pelaburan, KWAP turut menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan kadar gaji minimum yang disemak semula.
"Usaha ini membolehkan KWAP memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, di samping terus melaksanakan tanggungjawab kami sebagai pelabur institusi jangka panjang," katanya.
Dalam pada itu, Belanjawan 2027 turut mengumumkan peningkatan kadar pencen minimum bulanan daripada RM1,000 kepada RM1,350, yang akan memanfaatkan hampir 59,000 pesara dan penerima pencen terbitan, antara lain.
Selain itu, bantuan kewangan khas sebanyak RM750 turut akan disalurkan kepada pesara Kerajaan.
Beliau berkata, komitmen tersebut memperkukuh peranan KWAP sebagai Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dalam menggerakkan modal jangka panjang bagi menyokong keutamaan ekonomi negara, dengan terus berpegang teguh pada mandat di bawah Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 [Akta 662], tanggungjawab fidusiari serta komitmen terhadap pesara Malaysia.
"KWAP akan terus melaksanakan pelaburan secara berhemat dan berdisiplin bagi menjana pulangan jangka panjang yang mampan, di samping memperkukuh ekosistem pelaburan Malaysia, membangunkan keupayaan domestik serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka panjang," katanya.