'Selepas mengajar, guru besar hubungi saya' - Suami luluh terima berita kehilangan isteri, dua anak sekelip mata

Iklan
Norawalysa maut bersama dua anak mereka, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, tujuh tahun.

TANJONG KARANG – Suami kepada mangsa kemalangan maut yang meragut nyawa isteri dan dua anaknya di Jalan Raja Muda Musa di sini pada Khamis, tidak menyangka rutin harian keluarganya berakhir dengan tragedi memilukan.

Suhaimi Mohamad Jajuli, 44, berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas selesai menjalankan tugas di sekolah sebelum menerima maklumat mengenai kemalangan membabitkan kenderaan dinaiki isteri bersama tiga anak mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selepas selesai mengajar, dia menghadiri satu program di sekolah sebelum menunaikan solat. Dia kemudian menyedari terdapat beberapa mesej WhatsApp yang diterimanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu maut bersama dua anak, seorang lagi parah

Iklan

Suhaimin bersama arwah isteri dan anak-anak ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari itu, Proton Exora yang dinaiki isterinya, Norawalysa Mat Talpi, 44, bersama tiga anak mereka merempuh bahagian belakang sebuah lori 20 tan.

Iklan

Kemalangan itu mengakibatkan Norawalysa maut bersama dua anak mereka, Auni Syazana Suhaimi, 12, dan Ahmad Syah Fawwaz Suhaimi, tujuh tahun.

Seorang lagi anak mereka, Ahmad Syah Fitri Suhaimi, 10, mengalami kecederaan di kepala selepas dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

Suhaimi berkata, ketika kejadian, isterinya bersama tiga anak mereka dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan (SK) Bestari Jaya ke kediaman mereka di Parit Serong, Tanjong Karang.

Menurutnya, perkahwinan mereka sudah memasuki tahun ke-18 dan sepanjang tempoh itu, Allahyarham isterinya banyak menguruskan keperluan anak-anak, khususnya berkaitan persekolahan.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari itu, wanita berusia 44 tahun yang juga ibu kepada tiga mangsa kanak-kanak meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lebih menyayat hati, Suhaimi berkata, anak bongsunya, Ahmad Syah Fawwaz, sepatutnya menyambut ulang tahun kelahirannya yang kelapan pada 19 Oktober ini.

Katanya, mereka pada awalnya merancang untuk menyambut hari lahir anak itu secara sederhana di rumah dan sudah membeli hadiah lebih awal.

“Memang saya dan arwah ada merancang untuk menyambut ulang tahun anak di rumah sahaja, malah hadiah pun sudah dibeli lebih awal. Namun, luluh hati saya apabila mengenangkan dia sudah tiada lagi di dunia ini,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaimi berkata, anaknya, Ahmad Syah Fitri, yang turut terlibat dalam kemalangan itu kini berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau doktor.

Katanya, anak itu belum mengetahui sepenuhnya mengenai kejadian berkenaan kerana sedang tidur di bahagian belakang kenderaan ketika kemalangan berlaku.

Proton Exora yang dinaiki empat beranak itu terlibat kemalangan dengan sebuah lori 20 tan di Jalan Raja Muda Musa, di sini pada Khamis.

“Alhamdulillah, dia stabil, cuma masih perlu dipantau. Kebetulan semasa kejadian, dia duduk di kerusi belakang. Selalunya dia duduk di sebelah kakaknya, Auni Syazana, yang meninggal dunia dalam kejadian itu,” katanya.

Suhaimi berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan isterinya sebelum kejadian dan rutin pagi mereka berjalan seperti biasa.

“Pagi tadi, arwah cuma mengadu sakit perut, tetapi dia tetap pergi ke sekolah,” katanya.

Sementara itu, kehilangan ibu dalam tragedi berkenaan turut memberi kesan kepada anak kembar mereka, Auni Syafiqah Suhaimi dan Auni Syafiah, yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kira-kira dua minggu lagi.

Auni Syafiqah berkata, ibunya sempat berpesan supaya mereka belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh keputusan cemerlang ketika mereka bertemu buat kali terakhir pada awal pagi sebelum masing-masing ke sekolah.

“Mak suruh belajar rajin-rajin dan buktikan kebolehan, namun kata-kata itulah yang saya ingat sampai sekarang,” katanya.

Menurutnya, Allahyarham ibunya yang juga guru di SK Bestari Jaya berharap dapat melihatnya melanjutkan pengajian ke universiti selepas tamat SPM.

“Harapan mak hendak saya ke menara gading dan saya cuba tunaikan apa yang mak pesan,” katanya.

Auni Syafiqah berkata, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas menerima gambar kejadian menerusi telefon bimbit ketika berada di sekolah.

“Pada awalnya saya tidak percaya, tetapi apabila pulang ke rumah dan melihat WhatsApp, barulah saya tahu apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Auni Syafiah berkata, pertemuan terakhirnya dengan ibu juga berlaku pada pagi Khamis sebelum dia keluar ke sekolah.

Menurutnya, ibunya tidak pernah menetapkan universiti tertentu untuknya, sebaliknya hanya berharap dia belajar bersungguh-sungguh dan memperoleh keputusan cemerlang.

“Ibu tidak kisah saya hendak sambung belajar di mana, asalkan belajar elok-elok dan mendapat keputusan yang bagus,” katanya.

Suhaimi berkata, dia kini perlu menguatkan semangat untuk membesarkan anak-anak yang masih ada, selain memberikan sokongan kepada anak kembarnya agar terus tabah menghadapi peperiksaan SPM meskipun kehilangan ibu dan dua adik mereka.

Terdahulu media melaporkan seorang ibu dan dua anaknya maut manakala seorang lagi anak cedera parah selepas kereta dinaiki empat beranak itu terlibat kemalangan dengan sebuah lori 20 tan di Jalan Raja Muda Musa, di sini pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.37 tengah hari itu, wanita berusia 44 tahun yang juga ibu kepada tiga mangsa kanak-kanak meninggal dunia di lokasi kejadian.