KEPALA BATAS - Dakwaan cubaan samun membabitkan seorang lelaki di stesen minyak di Kampung Paya di sini pada pagi Selasa disahkan berpunca daripada salah faham selepas lelaki terbabit tersilap membuka pintu kereta milik pengadu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa cubaan samun ketika berada di stesen minyak berkenaan.
Bagaimanapun katanya, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku apabila lelaki terbabit tersilap membuka pintu kereta wanita tersebut kerana kedua-dua kenderaan berkenaan mempunyai warna dan jenis yang sama.
"Bagaimanapun dia tersalah kereta kerana keretanya dengan kereta pengadu mempunyai warna yang sama. Sehubungan itu, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan situasi di stesen minyak berkenaan.
Berdasarkan rakaman tersebut, kelihatan seorang lelaki menghampiri sebuah kereta berwarna merah sebelum berada di bahagian pintu kenderaan itu manakala seorang lagi individu berada berhampiran pam minyak.
Situasi berkenaan mencetuskan dakwaan berlakunya cubaan samun.