DUNGUN - Sebanyak 48 biji telur penyu belimbing berjaya diselamatkan selepas seekor ibu penyu belimbing kembali mendarat untuk bertelur di Pantai Rantau Abang di sini, awal pagi Sabtu.
Pendaratan tersebut merupakan kali kelima direkodkan di sepanjang pesisir pantai Terengganu bagi musim ini, menjadikan jumlah keseluruhan 313 biji telur yang ditemukan daripada lima pendaratan berkenaan.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Adnan Hussain berkata, Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang berjaya mengumpulkan kesemua telur berkenaan sebelum dipindahkan ke tapak penetasan terkawal bagi tujuan perlindungan dan pemantauan.
Menurutnya, penyu berkenaan mula naik ke pantai kira-kira jam 3 pagi sebelum bertelur pada jam 4.30 pagi dan kembali ke laut kira-kira jam 5.45 pagi ketika air laut pasang.
"Hasil pemeriksaan mendapati laluan penyu berkenaan berukuran kira-kira 2.1 meter lebar dan 15 meter panjang, manakala kedalaman sarang asalnya dianggarkan 110 sentimeter," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.
Adnan berkata, kesemua 48 biji telur itu dipindahkan ke tapak penetasan terkawal di TCIC Rantau Abang kira-kira jam 7 pagi.
Tambah beliau, Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Rantau Abang turut merakam gambar penyu berkenaan bagi tujuan pengecaman individu, selain membantu menjejaki pola pendaratan berulang serta menyokong kajian dan usaha pemuliharaan spesies itu.
Menurutnya lagi, pengurusan telur secara terkawal, pemantauan sarang dan perlindungan kawasan pendaratan merupakan antara langkah penting bagi memastikan kelangsungan populasi penyu, khususnya spesies yang berdepan pelbagai ancaman.
Jelas beliau, kerjasama daripada masyarakat setempat amat penting dalam usaha pemuliharaan berkenaan seperti tindakan pantas orang awam yang segera melaporkan pendaratan terbaharu itu kepada pihak TCIC.
Sementara itu, mengulas mengenai rekod empat pendaratan terdahulu bagi musim ini, ia melibatkan sebanyak 44 biji telur di Pantai Pasir Putih, Marang pada 1 September; 81 biji telur di Pantai Rantau Abang pada 13 September; 70 biji telur di Pantai Kuala Abang pada 22 September; serta 70 biji telur di Pantai Jambu Bongkok pada 1 Oktober lalu.
"Kesemua telur yang dipindahkan ke tapak penetasan terkawal itu dijangka menetas dalam tempoh 55 hingga 70 hari, iaitu antara 4 hingga 19 Disember ini, bergantung kepada suhu pasir dan keadaan persekitaran sarang.
"Pemantauan akan terus diteruskan oleh pihak TCIC Rantau Abang bagi memastikan telur berkenaan berada dalam keadaan yang sesuai sepanjang tempoh pengeraman tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Jabatan Perikanan Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mengganggu penyu yang mendarat, mengambil telur atau merosakkan sarang, sebaliknya diminta supaya segera melaporkan sebarang penemuan penyu atau sarang kepada pihak berkuasa.
"Perlindungan penyu dan telurnya adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang berkaitan, termasuk Akta Perikanan 1985 [Akta 317] serta Enakmen Penyu Terengganu yang berkuat kuasa," jelasnya.