KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung berhubung hantaran media sosial yang didakwa mempersoalkan kesetiaannya kepada negara berhubung isu 'Overseas Citizen of India'.
Ganabatirau yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor memfailkan saman itu pada Khamis, menerusi firma guaman SN Nair & Partners dan menamakan Firdaus sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan dokumen tuntutan, saman itu berkaitan perkataan yang didakwa palsu dan memfitnah Ganabatirau, yang diterbitkan atau menyebabkan penerbitan melalui akaun Facebook Firdaus dan akaun Instagram, pada atau sekitar 28 Julai lalu.
Berdasarkan dokumen, antara tuntutan yang dikemukakan ialah ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan setakat yang dibenarkan undang-undang.
Ganabatirau turut memohon injunksi kekal bagi menghalang Firdaus daripada menerbitkan semula perkataan yang dipertikaikan atau kenyataan lain yang membawa maksud fitnah sama atau secara substansial serupa terhadapnya.
Selain itu, beliau menuntut supaya hantaran berkenaan dipadamkan daripada akaun media sosial defendan serta sebarang salinan di bawah pemilikan atau kawalannya.
“Saya mohon perintah supaya defendan menerbitkan penarikan balik kenyataan dan permohonan maaf secara terbuka serta tanpa syarat melalui akaun Facebook, Instagram atau medium lain sebagaimana yang ditetapkan mahkamah.
“Tuntutan itu turut merangkumi faedah terhadap jumlah ganti rugi yang diberikan, kos serta apa-apa relif lain yang difikirkan adil dan sesuai oleh mahkamah,” katanya.
Bagaimanapun, dokumen tuntutan yang dirujuk tidak menyatakan jumlah ganti rugi khusus yang dituntut.
Berdasarkan dokumen, sekitar tarikh terbabit, plaintif mendakwa bertemu dan berinteraksi dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi ketika sesi lawatan ke Malaysia.
Plaintif membangkitkan isu halangan dan prosedur yang berkaitan program ‘Overseas Citizen of India’, yang telah dikendalikan kerajaan India selama bertahun-tahun.
Katanya, ia turut membabitkan keperluan untuk memberikan kelonggaran yang lebih luas terhadap syarat-syarat OCI bagi rakyat Malaysia berketurunan India yang layak.
Plaintif juga memberi penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana memberikan peluang kepada ahli-ahli Parlimen untuk menyatakan pandangan secara terbuka.
Bagaimanapun, pada jam 7.15 pagi 28 Julai, beliau mendakwa defendan secara sewenang-wenangnya tanpa sebarang provokasi, memilih untuk menerbitkan suatu hantaran yang secara langsung merujuk kepada plaintif dalam akaun Facebook.
Plaintif menyatakan, perkataan yang dipertikaikan tersebut, apabila dibaca secara keseluruhan dalam konteks, merupakan fitnah terhadap plaintif dan memberi makna yang berniat jahat.