KUANTAN - Semua institusi pendidikan di Rompin di bawah seliaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang ditutup sementara mulai Jumaat susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tidak sihat di daerah berkenaan.
JPN Pahang memaklumkan, penutupan itu sehingga keadaan kembali selamat dan arahan selanjutnya dikeluarkan.
Menurutnya, sepanjang tempoh penutupan, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hendaklah dilaksanakan melalui kaedah yang bersesuaian dengan mengambil kira kemampuan, akses dan keperluan murid serta kesiapsiagaan guru.
"Semua institusi pendidikan di daerah Rompin hendaklah memantau perkembangan bacaan IPU secara berterusan dan mematuhi arahan serta garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, Jabatan Alam Sekitar dan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa.
"Pembukaan semula institusi pendidikan akan dimaklumkan melalui saluran rasmi JPN Pahang setelah keadaan dan bacaan IPU berada pada tahap yang membolehkan institusi beroperasi dengan selamat," menurut kenyataan itu.
Empat stesen pemantauan kualiti udara di Pahang merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 6 petang Khamis.
Bacaan IPU Daerah Rompin mencatat 178 diikuti Indera Mahkota (166), Balok (165) dan Temerloh (153).
JPN Pahang mengingatkan pihak institusi pendidikan supaya mengawal aktiviti yang boleh mendedahkan murid dan warga pendidikan kepada udara tidak sihat serta mengambil langkah sewajarnya bagi melindungi keselamatan dan kesihatan mereka.
"Pihak jabatan mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid, guru serta seluruh warga pendidikan.
"Pemantauan berterusan akan dilaksanakan bersama Pejabat Pendidikan Daerah Rompin dan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan perkembangan semasa," menurut kenyataan itu.