DULU, kalau berniaga tanpa kedai, orang kata peniaga ketinggalan zaman. Sekarang, buka telefon sahaja boleh beli apa-apa. Makanan, pakaian, barangan dapur hinggalah produk yang sebelum ini hanya boleh dibeli di kedai. Mudah, cepat dan murah.
Itulah wajah perdagangan yang kita kenal sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tetapi kebelakangan ini, penulis mula nampak satu trend yang menarik.
Sebahagian peniaga yang sebelum ini begitu rancak berniaga secara dalam talian mula mengimbau kembali kepada kaedah lama. Iaitu ada kedai fizikal, pelanggan datang, tengok barang dan bayar. Bukan kerana mereka tidak mahu berniaga secara digital.
Tetapi mungkin kerana mereka sudah mula mengira semula kos-kos yang sedang ditanggung ketika ini. Penulis sendiri beberapa kali terbaca keluhan peniaga di media sosial.
Walaupun prestasi jualan platform dalam talian yang mereka sertai semakin naik, ada ‘harga’ yang perlu dibayar. Dalam masa sama, jualan juga ada naik turunnya.
‘Jualan kurang, untung makin nipis. Jika jualan masih sama pun, tetap juga untung makin nipis.’
Itu antara keluhan yang penulis baca tentang tekanan dilalui peniaga-peniaga e-dagang di salah satu platform media sosial.
Keluhan hampir sama kedengaran daripada peniaga kecil-kecilan hinggalah pempengaruh yang menjadikan jualan dalam talian sebagai sumber pendapatan. Golongan pempengaruh ini terdiri dalam kalangan mereka yang mampu menjana jualan juatan ringgit.
Mereka meluahkan, jualan tidak semestinya meningkat, tetapi kos mendapatkan jualan pula makin bertambah. Ada peningkatan yuran transaksi, komisen dan caj lain perlu ditanggung.
Seorang pempengaruh mendedahkan, jika dulu dia hanya perlu menolak RM50,000 kos untuk RM1 juta jualan, kini dia dikenakan kos sebanyak RM150,000 untuk jualan RM500,000.
Menurutnya, dia tak dapat bergantung penuh dengan platform tersebut disebabkan caj yuran dikenakan sangat tinggi yang dakwanya sehingga mencecah hampir 40 peratus.
Dia juga secara terbuka mendedahkan terpaksa bermain dengan harga, menaikkan harga produk. Semuanya disebabkan tidak tahan menanggung caj dikenakan sehingga keuntungan syarikat terjejas dengan teruk.
Alternatif lain, dia mencadangkan pengguna produknya beralih membeli menerusi laman sesawang rasmi perniagaannya untuk menikmati harga yang lebih wajar.
Bahkan katanya, caj beroperasi di laman sesawang jauh lebih rendah iaitu hanya dua peratus daripada hasil jualan.
Bagi pengguna pula, ramai yang masih memilih berbelanja menerusi platform dalam talian mengambil kira 'keuntungan' poket masing-masing.
Ada banyak baucar, potongan harga, dalam masa sama dapat mengumpul mata ganjaran yang menawarkan kelebihan tertentu yang berbaloi.
Persoalannya, siapa sebenarnya menanggung semua itu? Jawapannya banyak yang kembali kepada peniaga.
Pada awal perkembangan perdagangan digital, ramai peniaga tidak mahu pendekatan terlalu ketat dikenakan kepada platform kerana ketika itu jualan sedang berkembang dan peluang baharu sedang terbuka. Tetapi pasaran berubah.
Apa yang dahulu menjadi lubuk jualan kini mungkin menjadi ruang yang memerlukan peniaga lebih berhati-hati mengira setiap sen. Selama mana satu-satu trend jualan itu akan terus kekal relevan lebih-lebih lagi dalam situasi menekan peniaga?
Apa yang dibimbangi adalah akhirnya segala caj yang ditanggung peniaga akan terus dipindahkan kepada pengguna secara sesuka hati sehingga tidak terkawal. Justeru, perlu ada mekanisme yang lebih seimbang.
Penulis memahami bahawa platform juga mempunyai kos untuk menguruskan teknologi, sistem pembayaran, logistik, keselamatan dan sebagainya.
Namun, ketelusan yuran, had atau kawalan terhadap caj tertentu. Struktur promosi lebih adil dan perlindungan untuk peniaga mikro amat diperlukan.
Paling penting, peniaga perlu mempunyai ruang untuk berniaga tanpa terlalu bergantung kepada satu ekosistem.
Penulis percaya baik peniaga mahupun pengguna, masing-masing tidak mahu sampai tahap Malaysia perlu menyekat platform e-dagang seperti yang dilakukan beberapa negara termasuk jiran, Indonesia. Masih ada titik tengah ‘menang-menang’ yang boleh dicapai.
*Nurhidayah Hairom ialah wartawan Sinar Harian