Pahala di sebalik cahaya hijau

Iklan
Pekarangan pintu masuk HPUSM kembali diterangi cahaya hijau pada malam Khamis sebagai tanda penghormatan kepada seorang anak muda iaitu Muhammad Aidil Ahmad Zupardi yang memilih untuk menghadiahkan 'kehidupan' kepada insan lain melalui pendermaan organ.

MELIHAT rakaman video penghormatan terakhir Walk of Honour oleh petugas kesihatan kepada penderma organ, diiringi limpahan cahaya hijau di hospital, mengundang rasa sebak, terharu dan kagum. Terlintas di fikiran, mampukah diri sendiri melakukan pengorbanan sebesar itu?

Di Malaysia, ikrar pendermaan organ dan tisu boleh didaftarkan melalui aplikasi MySejahtera. Bagaimanapun, kesesuaian organ ditentukan pasukan perubatan, kematian disahkan mengikut protokol dan kebenaran bertulis waris wajib diperoleh sebelum proses perolehan dilakukan.

Iklan
Iklan

Organ seperti jantung, hati, paru-paru dan buah pinggang dipindahkan segera kepada penerima kerana tidak boleh disimpan lama. Berbeza dengan tisu seperti kulit, tulang, tendon dan ligamen yang perlu diproses serta disimpan di bank tisu.

Bank Tisu Universiti Sains Malaysia (USM) pelopor dan satu-satunya bank tisu pelbagai jenis di negara ini. Bagi mangsa melecur, tisu kulit membantu merawat luka, manakala tulang dan tendon digunakan dalam pembedahan pemulihan anggota.

Iklan

Pendermaan tisu turut melibatkan selaput uri atau amnion yang lazimnya ditanam selepas kelahiran, tetapi boleh diproses menjadi plaster luka biologi. Penderma amnion ialah ibu yang bersalin di Hospital Pakar USM (HPUSM).

Penyelaras Bank Tisu USM, Profesor Dr Suzina Sheikh Ab Hamid mengumpamakan tisu sebagai spare part ciptaan ALLAH, daripada manusia untuk manusia. Perumpamaan itu cukup bermakna, mengingatkan bahawa tubuh yang tidak lagi diperlukan pemiliknya boleh memulihkan kehidupan insan lain.

Iklan

Dari sudut hukum, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia pada 1970 memutuskan pemindahan jantung dan mata daripada orang meninggal dunia kepada orang masih hidup adalah harus. Keharusan turut merangkumi organ dan tisu lain selaras perkembangan perubatan, tertakluk kepada syarat kematian disahkan, tiada unsur jual beli, keizinan diperoleh dan jasad si mati dihormati.

Jauh di sudut hati, penulis turut menyimpan hasrat menderma organ dan tisu selepas meninggal dunia kelak, meskipun tidak menafikan rasa takut dan bimbang. Tidak semua orang berkemampuan menyumbang wang ringgit. Namun, tubuh yang dipinjamkan ALLAH ini masih boleh memberi manfaat kepada insan lain.

Hasrat itu penulis tinggalkan sebagai wasiat. Seperti kipas yang diwakafkan di masjid, selagi dimanfaatkan, selagi itulah kebaikannya berterusan. Begitu juga pendermaan organ dan tisu yang memberi peluang kepada insan lain meneruskan kehidupan.

Pada 19 November lalu, selepas tujuh tahun tanpa penderma organ di HPUSM, Muhammad Aidil Ahmad Zupardi, 23, mendermakan semua organnya kecuali kulit dan jantung. Pengorbanannya turut diiringi penghormatan cahaya hijau, membuktikan besarnya makna sebuah ikrar.

Hakikatnya, keputusan menderma bukan mudah bagi keluarga yang kehilangan insan tersayang. Namun, mereka berpeluang menghormati hasrat arwah dan melunaskan amanahnya.

Kebimbangan mengenai keadaan jasad juga tidak seharusnya menjadi penghalang kerana pengambilan organ dilakukan melalui pembedahan teratur dengan menjaga kehormatan jenazah sebelum diserahkan kepada waris untuk pengebumian seperti biasa.

Al-Fatihah buat semua penderma organ dan tisu yang telah meninggal dunia. Semoga ALLAH SWT merahmati roh mereka, mengampuni dosa serta menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman. Mudah-mudahan kita turut dikurniakan keikhlasan dan keberanian untuk terus memberi manfaat melalui tubuh pinjaman ini, meskipun selepas meninggalkan dunia.

*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian Kelantan