JANJI Barisan Nasional (BN) untuk mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya berjaya menawan semula Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) membuka kembali perdebatan mengenai sistem percukaian negara yang pernah mencetuskan polemik besar dalam kalangan rakyat.
Ikrar Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu bukan sekadar cadangan mengubah sistem percukaian daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada GST, sebaliknya dilihat sebagai usaha gabungan berkenaan mengangkat semula dasar ekonomi yang pernah diperkenalkan ketika pentadbirannya dahulu.
Malah, kenyataan Ahmad Zahid ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Wisma MCA pada Ahad, dengan merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi ungkapan 'Bossku dah buat yang terbaik dahulu', memperlihatkan BN masih melihat pelaksanaan GST sebagai sebahagian daripada legasi pentadbiran terdahulu yang wajar dipertahankan.
Ahmad Zahid sebelum ini beberapa kali menyuarakan pendirian supaya sistem cukai berkenaan diperkenalkan semula selepas PRU16, termasuk ketika menyatakan sokongan terhadap pelaksanaannya pada kadar lebih munasabah.
Bagaimanapun kali ini kenyataan beliau membawa mesej politik yang lebih jelas apabila BN secara terbuka meletakkan pengembalian GST sebagai antara komitmen sekiranya gabungan itu kembali membentuk kerajaan Persekutuan.
Namun sejauh mana janji tersebut mampu diterima rakyat yang masih mempunyai pengalaman berbeza ketika GST dilaksanakan pada April 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018?
Tidak dinafikan, GST mempunyai kelebihan dari sudut struktur percukaian kerana sistem itu berasaskan cukai nilai tambah yang dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan, dengan mekanisme tuntutan kredit cukai input bagi mengelakkan cukai berganda.
Berbanding SST yang mengenakan cukai pada peringkat tertentu, GST menawarkan liputan kutipan lebih menyeluruh, selain berpotensi meningkatkan kecekapan pentadbiran dan ketelusan sistem percukaian.
Pengalaman pelaksanaan GST sebelum ini menunjukkan isu kadar cukai, peningkatan kos barangan dan perkhidmatan serta kelewatan pembayaran balik cukai kepada peniaga antara perkara yang boleh mencetuskan ketidakpuasan hati.
Malah, kebimbangan mengenai kesan cukai terhadap golongan berpendapatan rendah tidak boleh diketepikan kerana mereka lazimnya menggunakan sebahagian besar pendapatan untuk perbelanjaan harian.
Justeru cabaran BN bukan sekadar meyakinkan rakyat bahawa GST merupakan sistem percukaian lebih baik berbanding SST, tetapi membuktikan mekanisme pelaksanaannya kelak mampu mengelakkan kelemahan yang pernah berlaku.
Pada masa sama, BN perlu menjelaskan bagaimana pengembalian GST akan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya dalam menangani kos sara hidup yang kekal menjadi antara kebimbangan utama masyarakat.
Ini kerana rakyat tidak lagi hanya menilai sesuatu parti berdasarkan janji untuk memperkenalkan atau menghapuskan sesuatu dasar, sebaliknya mahu melihat sejauh mana dasar berkenaan mampu menyelesaikan masalah kehidupan mereka.