DALAM merangka mana-mana belanjawan, keupayaan membuat andaian yang tepat terhadap asas-asas utama belanjawan merupakan kunci untuk memastikan belanjawan berkenaan kekal relevan pada masa hadapan.
Jika tidak, belanjawan yang diumumkan boleh menjadi lapuk pada hari ia diumumkan apabila andaian-andaian penting berubah dengan ketara.
Sejak Perang Iran, bekalan minyak dan produk petrokimia kritikal lain telah terganggu. Apabila bekalan berkurangan, harga barangan akan meningkat. Dalam sistem yang menetapkan harga petrol dan diesel melalui subsidi, harga minyak yang kekal tinggi akan menyebabkan kos subsidi semakin meningkat.
Keadaan menjadi lebih kritikal apabila bekalan minyak itu sendiri semakin terhad. Rusia dan China telah mengumumkan pemberhentian eksport produk minyak terproses, terutama diesel, berikutan kekangan bekalan.
Beberapa negeri di Amerika Syarikat dan negara di Eropah juga sudah merasai kekurangan bekalan diesel yang berpotensi memberikan kesan besar kepada ekonomi.
Walau bagaimanapun, sekiranya harga minyak kekal rendah, tidak banyak insentif bagi rakyat untuk mengubah gaya hidup mereka. Sekiranya bekalan minyak mula terjejas, permintaan yang kekal tinggi bukan sahaja boleh mempercepatkan gangguan bekalan, malah menimbulkan perebutan bekalan, terutama dalam kalangan perniagaan yang bergantung pada diesel untuk menjalankan operasi masing-masing.
Sebagai reaksi terhadap kenaikan harga, kebanyakan bank pusat dunia menaikkan kadar faedah. Walaupun pada awalnya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat dijangka menurunkan kadar faedah tahun ini, ia sebaliknya menaikkan kadar berkenaan.
Susulan keadaan itu, pasaran bon mula tertekan sehingga menyebabkan kenaikan kadar pulangan, bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah kesannya turut merebak ke Eropah.
Kenaikan kadar pulangan dalam pasaran bon memberikan kesan langsung kepada kerajaan yang mempunyai paras hutang tinggi. Hutang yang dibuat ketika kadar faedah rendah terpaksa dibiayai semula pada kos yang lebih tinggi.
Peningkatan kos pinjaman ini akan menambah perbelanjaan pengurusan kerajaan, sekali gus mengecilkan bahagian peruntukan yang boleh digunakan untuk menyediakan perkhidmatan lain kepada rakyat.
Ketika ini, harga minyak dan tekanan dalam pasaran bon merupakan dua faktor besar yang sukar diunjurkan dalam merangka belanjawan untuk tahun hadapan. Antara puncanya ialah peperangan yang dimulakan oleh Amerika Syarikat.
Walaupun keadaan di medan Iran kelihatan agak tenang sekarang, kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas pilihan raya separuh penggal Amerika Syarikat yang akan berlangsung pada minggu pertama November nanti.
Peperangan di Yaman turut menyebabkan bekalan minyak dunia semakin terancam. Ini kerana Bab al-Mandab kini menjadi faktor penting setelah pihak Ansarallah berjaya menguasainya dan menghadkan laluan minyak dari negara-negara tertentu.
Bagi belanjawan perniagaan, pembinaan beberapa senario mengenai bagaimana perbelanjaan perlu diselaraskan sekiranya andaian berkaitan minyak dan bon berubah mungkin merupakan antara pendekatan yang perlu diambil dalam merangka belanjawan.
Jangan tunggu sehingga keadaan menjadi lebih mencabar sebelum memikirkan bagaimana untuk bertindak.
Pendekatan ini mungkin lebih rumit untuk dilaksanakan dalam belanjawan kerajaan. Namun, dalam keadaan ketidaktentuan seperti sekarang, kerajaan perlu mempertimbangkan secara serius bagaimana ia akan bertindak sekiranya andaian-andaian utama berubah dengan ketara, sebagaimana yang dilakukan dalam penyediaan belanjawan sektor swasta.
Bagi membantu perniagaan yang perlu membayar cukai berdasarkan andaian yang dibuat lebih awal, pelarasan dalam kaedah pembayaran dan pemulangan cukai amat penting.
Langkah ini perlu supaya perniagaan mempunyai keupayaan untuk terus menerajui perkembangan ekonomi negara ketika persekitaran perniagaan semakin mencabar akibat kesan geoekonomi dan geopolitik yang kian sukar diramal.