BINA Darulaman Berhad (BDB) menerusi anak syarikatnya BDB Synergy Sdn Bhd (BDB Synergy) terus memperluas penglibatannya dalam pembangunan infrastruktur strategik di Kedah selepas menerima kontrak bernilai RM11.5 juta daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi pembinaan dan penyiapan Integrated Business Centre (IBC) di Kedah Rubber City (KRC) di Padang Terap.
Projek di Plot PT2217, KRC itu mempunyai tempoh pelaksanaan selama 18 bulan dari tarikh penyerahan milikan tapak yang melibatkan pembinaan serta penyiapan bangunan IBC, termasuk kerja-kerja luaran, pemasangan elektrik dan mekanikal, kerja cerucuk serta kerja-kerja berkaitan.
Ia dibangunkan di kawasan Bukit Ketapang, KRC merupakan projek strategik bertujuan merancakkan pembangunan di kawasan timur Kedah serta menyokong pembangunan ekonomi yang lebih seimbang antara wilayah timur dan pantai barat negeri tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB, Che Abdul Khalid Md Din berkata, penganugerahan kontrak tersebut mencerminkan kepercayaan terhadap keupayaan BDB Synergy dalam melaksanakan projek kejuruteraan dan pembinaan, termasuk daripada agensi Kerajaan Persekutuan.
“Penerimaan kontrak bernilai RM11.5 juta ini membuktikan bahawa Kumpulan BDB terus mendapat kepercayaan dalam menyokong pembangunan infrastruktur, bukan sahaja daripada Kerajaan Negeri Kedah malah turut melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan.
Sebagai kontraktor Kelas G7, BDB Synergy mempunyai lebih 44 tahun pengalaman dalam industri kejuruteraan dan pembinaan serta kepakaran dalam melaksanakan pelbagai projek infrastruktur dan pembinaan berskala besar.
Projek utama yang kini berada di peringkat akhir penyiapan ialah projek menaik taraf Loji Rawatan Air Pelubang serta pemasangan jajaran paip, yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri Kedah dengan nilai keseluruhan RM431 juta.
Che Abdul Khalid berkata, kontrak baharu itu mengukuhkan rekod prestasi BDB Synergy dalam melaksanakan projek pembinaan di kawasan pembangunan strategik.
“BDB Synergy akan memanfaatkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki bagi memastikan projek IBC ini dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan mengikut tempoh yang ditetapkan.
“Kami komited untuk memastikan aspek kualiti, keselamatan, tadbir urus dan pematuhan diberi keutamaan sepanjang pelaksanaan projek serta memenuhi keperluan yang ditetapkan oleh NCIA dan semua pihak berkepentingan,” ujarnya.