Dari Gopeng bina impian

Iklan
Hit Barber Bus di Jalan Leong Boon Swee, Ipoh yang diusahakan Muhammad Naufal menampilkan pengalaman berbeza menggunting rambut dalam bas.

IPOH - Pada usia 27 tahun, kebanyakan anak muda masih mencari arah dalam kerjaya.

Namun, berbeza bagi Muhammad Naufal Aizat Saiful Faizal yang sudah memiliki dua premis gunting rambut, termasuk sebuah kedai berkonsep unik di dalam bas yang kini menjadi tarikan di bandar raya ini.

Iklan
Iklan

Anak kelahiran Kampung Sungai Itik, Gopeng itu mengusahakan Hit Barber Bus di Jalan Leong Boon Swee di sini, selain sebuah lagi kedai gunting rambut di pekan Gopeng yang beroperasi sejak 2020.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, penglibatannya dalam bidang perniagaan bermula selepas mengikuti latihan di GIATMARA Gopeng pada 2015.

Iklan

Katanya, selepas tamat pengajian, beliau bekerja bagi menimba pengalaman sebelum mengambil keputusan untuk membuka kedai sendiri.

"Daripada situ, saya mula belajar menguruskan perniagaan dan akhirnya membuka kedai pertama yang dikenali sebagai Raobest Barber Shop pada 2020," katanya.

Iklan

Muhammad Naufal berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan serta menambah baik perkhidmatan pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau turut menerima pelbagai bantuan dan latihan daripada agensi kerajaan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Beliau juga menerima pembiayaan serta geran, antaranya RM10,000 bagi pemasaran digital di bawah MARA dan RM2,000 daripada Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) untuk pembelian peralatan.

"Selepas empat tahun mengusahakan kedai di Gopeng, saya mula memikirkan cara untuk mengembangkan perniagaan. Dari situ timbul idea untuk menawarkan sesuatu yang berbeza menerusi Hit Barber Bus," katanya.

Menurut Muhammad Naufal, idea mewujudkan kedai gunting rambut di dalam bas itu diinspirasikan daripada trend perniagaan bergerak di luar negara seperti trak makanan, namun diolah untuk menawarkan perkhidmatan gunting rambut.

Katanya, projek tersebut direalisasikan menerusi inisiatif Program Hair in Trend (HiT) Barber di bawah MARA.

Muhammad Naufal

"Proses mengubah suai bas bukan mudah kerana memerlukan kos yang tinggi, selain perlu memastikan keselesaan pelanggan sentiasa terjaga," katanya.

Hit Barber Bus mampu memuatkan tiga pelanggan pada satu-satu masa dengan menawarkan perkhidmatan menggunting rambut, mencuci rambut serta mencukur misai dan jambang.

Premis berkenaan beroperasi dari jam 1.30 petang hingga 9 malam dengan harga perkhidmatan antara RM18 hingga RM30.

Menurut Muhammad Naufal, pada peringkat awal, perniagaannya tidak menjana keuntungan yang tinggi sebelum mula menunjukkan peningkatan kira-kira 30 peratus sejak setahun lalu.

"Pada awalnya memang tiada keuntungan, tetapi lama-kelamaan pendapatan meningkat dan kini boleh mencecah sekitar RM10,000 sebulan," katanya.

Katanya, pertambahan pelanggan turut didorong oleh kedudukan Ipoh yang kini menjadi antara destinasi pelancongan popular.

"Ramai pelanggan dari luar datang, termasuk dari Kuala Lumpur dan Rawang. Mereka tertarik dengan konsep bas ini dan kemudian berkongsi pengalaman dengan orang lain," katanya.

Selepas enam tahun berkecimpung dalam bidang perniagaan, Muhammad Naufal turut menjadi inspirasi kepada golongan muda apabila pernah dijemput berkongsi pengalaman dan mengajar asas keusahawanan kepada pelajar GIATMARA.

Beliau juga tidak melupakan tanggungjawab sosial dengan menyertai program gunting rambut percuma, termasuk untuk anak-anak yatim.

Penglibatan Muhammad Naufal dalam bidang perniagaan bermula selepas mengikuti latihan di GIATMARA Gopeng pada 2015.

Menurutnya, kejayaan yang dicapai hari ini banyak didorong oleh semangat untuk membantu keluarga selepas kehilangan bapanya ketika berusia 18 tahun.

"Saya mengambil tanggungjawab untuk bekerja dan membantu keluarga ketika abang dan adik-adik masih menuntut," katanya.

Kini, beliau bersyukur apabila semua adik-beradiknya berjaya dalam bidang masing-masing, manakala ibunya, Noor Aidawati Yusoff, 57, terus memberikan sokongan dalam menguruskan perniagaan.

Muhammad Naufal berhasrat untuk terus mengembangkan perniagaan dan menambah baik perkhidmatannya pada masa akan datang.