PADANG TERAP - Pas boleh menggunakan logo parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya Perikatan Nasional (PN) tidak dapat menggunakan logo gabungan berkenaan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, cadangan tersebut bagaimanapun belum dimuktamadkan dan akan dibincangkan dalam mesyuarat parti pada Isnin depan.
Menurutnya, perkara itu turut mengambil kira perkembangan berkaitan status logo PN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Logo ini orang tak fobia dah. Gunung Everest pun dah (ada) logo Pas, orang bawa pergi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Hakmilik dan Kunci Rumah Desa Sejahtera Perik, Mukim Kurong Hitam di sini pada Khamis.
Sementara itu, mengulas mengenai formula kerjasama dengan UMNO bagi menghadapi PRN Melaka pula, Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, Pas berpegang kepada dua kemungkinan iaitu formula Johor atau Negeri Sembilan.
Katanya, sebarang bentuk kerjasama perlu mengambil kira pengorbanan setiap parti secara adil dan tidak hanya memihak kepada satu pihak.
“Formula dia ada dua saja, satu formula Johor, satu formula Negeri Sembilan. Dua formula itulah.
“Kalau status quo (timbal balik) di Melaka, status quo di tempat lain pun status quo, adil dan saksama.
“Sebanyak mana kamu berkorban, kami juga berkorban sebanyak itu. Tempat kita dia mahu tak adil lah, kan? Saya punya sifir mudah macam itu saja. Tak mahu tegang-tegang, kerja masing-masing,” katanya.
Sementara itu, ketetapan sama ada PN boleh menggunakan logo gabungan itu pada PRN Melaka bergantung kepada perkembangan dengan RoS.
Takiyuddin sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya sedang memohon mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah RoS selain mendapatkan penjelasan daripada agensi berkenaan.