Cadangan PRU16 tanpa BN dibawa ke Majlis Presiden PH - Mat Sabu

Iklan
Mohamad Sabu

SHAH ALAM - Cadangan Parti Amanah Negara (Amanah) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) tanpa kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) akan dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bagi mendapatkan keputusan bersama.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ketetapan yang dicapai pada Konvensyen Nasional 2026 Amanah itu merupakan saranan parti manakala keputusan muktamad mengenai kerjasama berkenaan perlu dibuat di peringkat PH.

Iklan
Iklan

"Kita tak buat keputusan, kita hanya buat saranan. Keputusan nanti di bawah PH," katanya pada sidang media selepas berakhirnya Konvensyen Nasional 2026 Amanah di Dewan Raja Muda Musa di sini pada Ahad.

Terdahulu, konvensyen berkenaan meluluskan usul supaya parti itu menghadapi PRU16 tanpa kerjasama dengan BN selepas mendapat sokongan hampir kesemua perwakilan.

Iklan

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, usul berkenaan merupakan gabungan cadangan daripada Selangor, kawasan Subang dan Kelantan yang mahukan pendirian tegas menghadapi PRU16 tanpa kerjasama dengan BN.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, cadangan tersebut akan dibawa ke Majlis Presiden PH apabila mesyuarat gabungan parti itu diadakan.

Iklan

Menurut beliau, ketika ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi berada di luar negara. 

"Kita akan ikut keputusan PH. Apa PH bersetuju, kita akan ikut bersama," ujar Mohamad.

Ditanya mengenai alasan Amanah mencadangkan supaya kerjasama dengan BN tidak diteruskan, Mohamad merujuk keputusan pilihan raya negeri (PRN) di tiga negeri iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Melaka selain menyentuh pilihan pengundi terhadap parti kerajaan.

"Tengoklah apa berlaku di tiga negeri. Kalau dia nak undi parti kerajaan, dia undi BN. Tak salahlah, itu sahajalah," kata beliau.

Sementara itu, Mohamad berkata, semangat ahli Amanah masih tidak luntur meskipun parti berkenaan mengalami kekalahan dalam PRN di tiga negeri tersebut.

"Saya nampak semangat ahli tidak luntur walaupun dah mengalami kekalahan di tiga negeri.

"Tadi pun saya bimbang juga, dah jam 6 petang dah. Mereka masih menunggu. Jadi, yang itu menggembirakan saya," katanya.

Mengenai persediaan menghadapi PRU16, beliau mengingatkan ahli Amanah supaya terlebih dahulu mempunyai keyakinan terhadap perjuangan parti sebelum berusaha meyakinkan masyarakat.

Beliau juga percaya jika perubahan besar dilakukan Perdana Menteri menjelang pilihan raya, rakyat juga boleh membuat perubahan.