SHAH ALAM – Kekalahan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) bukan bermakna perjuangan Parti Amanah Negara (Amanah) sudah berakhir, sebaliknya parti itu baru sahaja memulakan perjalanan panjang untuk mencapai cita-citanya.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, ahli parti perlu menerima realiti prestasi pilihan raya yang dilalui dan menjadikan keputusan berkenaan sebagai titik permulaan untuk membina semula kekuatan parti.
Menurutnya, Amanah perlu bersedia bekerja lebih keras dan memperkukuh keahlian untuk meneruskan perjuangan meskipun terpaksa berhadapan kekalahan dalam pilihan raya.
“Kalau kita tengok rumusan prestasi kita dalam pilihan raya negeri tolak Sabah, kita ambil dari Johor, Negeri Sembilan dan baru-baru ini di Melaka. Hanya menang satu kerusi.
“Ini bukan bermakna dunia telah kiamat, ini bermakna kita baru sahaja bermula perjuangan. Suka atau tidak suka, kita akan masuk bertanding, itu realiti yang saya nak tunjukkan.
“Kalau siapa yang berasakan sudah lelah, penat dan tidak mampu lagi berjalan ayuh silakan, tapi kalau siapa melihat perjuangan ini akhirnya akan mencapai cita-citanya, saya menyeru perwakilan agar sanggup untuk berjalan dalam perjalanan panjang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika penggulungan Pidato Presiden sempena hari kedua Konvensyen Nasional 2026 Amanah di sini pada Ahad.
Mujahid berkata, keputusan PRN yang lepas perlu dijadikan asas realistik untuk parti memulakan usaha memperbaiki prestasi dan bukannya terus memberikan alasan.
“Kita tidak ada masa untuk memberi alasan kononnya orang tidak faham lagi perjuangan Amanah, tetapi perlu bekerja lebih keras untuk terus berjuang sehingga akhirnya sama ada kita menang atau gugur dalam perjuangan.
“Bukan soal kalah dan menang dalam pilihan raya. Ini soal kalau kita tidak memberikan satu janji kepada diri kita sebagai parti, hancur negara,” katanya.