SHAH ALAM - Kerajaan Selangor berharap perjanjian kerjasama (CSA) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dapat dimeterai sebelum pembentangan Belanjawan Selangor pada November depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rundingan berhubung perkara itu masih berlangsung dan belum dimuktamadkan antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, terdapat proses perbincangan termasuk rundingan dan tawar-menawar sebelum sebarang persetujuan dicapai.
"Setakat ini belum dimeterai lagi sebab masih ada tarik tali, (di peringkat) rundingan dan perbincangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Jelajah Sejahtera Madani Skim Insurans Kesejahteraan Rakyat (SIKR) 3.0 di sini pada Khamis.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan hasrat 11 ADUN Bersatu Selangor untuk memeterai CSA dengan kerajaan negeri masih belum dimuktamadkan.
Menurut laporan itu, beberapa tuntutan dikemukakan Bersatu dalam rundingan itu yang didakwa melebihi jangkaan kerajaan negeri.
Sumber tertinggi parti itu dipetik sebagai berkata, rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan, manakala dokumen perjanjian yang dipinda semula telah diserahkan untuk penelitian lanjut.
Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan, kerajaan negeri mengambil kira pengalaman CSA di peringkat Persekutuan sebelum ini dalam usaha membentuk kerjasama dengan pembangkang di Selangor.
Beliau menjelaskan, menerusi kerangka itu, kerajaan negeri dan pembangkang boleh berbincang mengenai bentuk kerjasama serta perkara berkaitan kepentingan rakyat.
"Format dan kaedahnya kita bincangkan dan kita ambil pengalaman serta iktibar daripada pengalaman CSA antara Pakatan Harapan (PH) ketika itu dengan kerajaan Persekutuan.
"Namun, tanpa CSA sekalipun, pembangkang di Selangor tetap menerima peruntukan walaupun hanya satu per dua daripada keseluruhan kos," katanya.
Ditanya tentang sokongan Bersatu terhadap usaha itu, Amirudin menjelaskan, perkara itu masih dalam peringkat awal untuk dibincangkan.
"Kita akan memaklumkan perkembangan lanjut sekiranya persetujuan berjaya dicapai dan dimeterai kedua-dua pihak," tambah beliau.