Fuel Your School Caltex tingkat minat pelajar dalam STEM

Iklan
Pihak sekolah yang menunjukkan ikan kepada rombongan kakitangan Caltex ke sekolah mereka.

KOTA BHARU – Pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menjadi lebih menyeronokkan apabila pelajar diberi ruang meneroka teknologi pintar secara langsung yang menghubungkan ilmu dalam bilik darjah dengan pengalaman sebenar melalui Program Caltex Fuel Your School.

Inisiatif menggabungkan STEM dengan aspek keterjaminan makanan itu dilaksanakan di 15 sekolah di Kelantan dengan pelajar didedahkan kepada teknologi pertanian menerusi aktiviti penanaman sayur-sayuran dan penternakan ikan.

Iklan
Iklan

Program yang bermula tahun lalu itu mula memberikan impak yang dirasai di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 apabila merekodkan peningkatan kehadiran pelajar kepada 91 hingga 92 peratus selain mendapati murid semakin berminat terhadap STEM.

Fuel Your School Caltex yang memberi manfaat kepada murid dan lebih minat STEM.

Iklan

Guru Besar SK Kubang Kerian 2, Muhammad Zainudin Stapa berkata, ada dalam kalangan murid yang sebelum ini mempunyai masalah kehadiran mula menunjukkan minat ke sekolah dan melibatkan diri dengan aktiviti mengurus ikan serta tanaman.

“Apabila ada program ini di sekolah, murid berminat untuk hadir kerana mereka boleh terlibat memberi makan ikan dan menjaga tanaman, sesuatu yang mungkin tidak berlaku di rumah.

Iklan

“Dari segi pembelajaran, mereka lebih banyak bertanya kepada guru untuk mengetahui dengan lebih mendalam perjalanan sistem ini yang berkaitan STEM dalam ternakan dan pertanian,” katanya kepada Sinar Harian di SK Kubang Kerian 2, di sini pada Khamis.

Beliau berkata, walaupun pelajar Tahap Dua diberi keutamaan untuk mengendalikan sistem berkenaan, kesan pembelajaran turut didedahkan kepada keseluruhan 886 pelajar sekolah itu.

“Pengalaman tersebut turut mengubah cara pelajar melihat pembelajaran STEM dan menjadi menyeronokkan dengan pengalaman pembelajaran di luar bilik darjah,” katanya.

Bagi murid, Muhammad Arif Akashah Muhamad Arifin, 11, pengalaman mengendalikan sistem itu malah mengubah minatnya daripada cita-cita asal untuk menjadi doktor kepada keinginan mendalami bidang Sains dan menghasilkan sendiri sistem penanaman berteknologi tinggi.

Muhammad Arif Akashah (enam dari kiri) menuai kangkung dan diberikan kepada Uzma (lima dari kanan).

Murid Darjah Lima yang juga pengawas sekolah itu berkata, dia tertarik melihat bagaimana teknologi tersebut menggabungkan tanaman dan ikan dalam satu sistem.

“Saya jadi lebih minat kepada Sains dan mahu cuba menghasilkan sistem penanaman sendiri apabila dewasa kelak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengawas Sekolah SK Kubang Kerian 2, Safiyah Nuraisya Arman, 11, berkata, sistem berkenaan membolehkannya memahami hubungan antara ikan, bakteria dan tumbuhan dalam menghasilkan kitaran yang menyokong pertumbuhan tanaman.

“Daripada sistem ini saya mula tahu tumbuhan boleh dapat nutrien daripada sisa ikan yang diuraikan bakteria semula jadi dan air juga boleh dikitar semula,” katanya.

Murid SK Kubang Kerian 2 memberi makan kepada ikan talapia yang diternak.

Bagi Ketua Pengawas dan Pembimbing Rakan Sebaya sekolah itu, Safiyah Fauzan, 12, pula, pengalaman berkenaan menjadikan pembelajaran Sains lebih mudah difahami kerana pelajar dapat melihat sendiri proses yang dipelajari.

Pendedahan tersebut turut menyemarakkan minatnya dan cita-citanya untuk menjadi guru Sains.

“Apabila kita dapat lihat sendiri bagaimana sistem ini berfungsi, pembelajaran Sains menjadi lebih mudah dan menarik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Korporat Caltex Malaysia, Uzma Nawawi berkata, program Fuel Your School memberi fokus untuk meningkatkan minat pelajar kepada STEM dan masa sama memahami kepentingan keterjaminan makanan negara.

Beliau berkata, bermula Mac tahun lalu hingga akhir Ogos lepas, 15 sekolah yang terlibat di Kelantan merekodkan hampir 650 kilogram tuaian sayur-sayuran dan 71 kilogram ternakan ikan.

Katanya, hasil jualan tuaian dan ikan turut menjana RM2,051 untuk pendapatan sekolah dengan jumlah penerima manfaat mencecah 2,049 orang.

“Pencapaian ini amat membanggakan dan tidak akan dapat dicapai tanpa komitmen pihak sekolah yang memastikan program ini berjalan dengan baik.

“Kami berharap inisiatif ini dapat terus memberi pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna kepada pelajar serta memupuk minat mereka dalam STEM,” katanya.

Program berkenaan menggunakan sistem Aquagarden 210 yang menggabungkan lima teknik pertanian iaitu hidroponik, akuakultur, vertical farming, vermiponik dan aeroponik dalam satu sistem.

Salad yang tumbuh hasil semaian murid dan guru dalam program di Kota Bharu.

Sistem berukuran tiga meter persegi itu mampu menempatkan sehingga 40 ekor ikan, manakala tanaman ditanam tanpa tanah dengan akar tergantung dalam udara.

Air dalam sistem dikitar semula bagi mengurangkan penggunaan air, selain boleh mengumpulkan air hujan.

Sisa ikan pula diuraikan bakteria semula jadi sebelum nutriennya dimanfaatkan oleh tanaman, mewujudkan satu sistem pertanian yang saling berkait dan lebih lestari.

Sistem berkenaan bernilai kira-kira RM15,000 dan dibekalkan menerusi kerjasama Caltex Malaysia, MyKasih Foundation dan HAVVA Agrotech.

Program Caltex Fuel Your School sebelum ini dilaksanakan di 15 sekolah di Johor pada 2024, sebelum diperluaskan ke Kelantan dan seterusnya ke 15 sekolah di Perak pada tahun ini.

“Caltex turut merancang memperluaskan program berkenaan ke Selangor dan Negeri Sembilan tahun depan,” kata Uzma.

Turut hadir, Pengurus Stesen Caltex Tok Kenali, Mohamad Aizat Othman.

Rakan niaga Caltex ini bertindak sebagai stesen angkat bagi SK Kubang Kerian 2 dalam Program Caltex Fuel Your School bagi membantu mengendali, memantau projek, menampung kos makanan ikan selain menyokong pemasaran hasil.

Program itu turut mendapat kerjasama serta sokongan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah.