SHAH ALAM – Kelemahan pelaksanaan dasar menjadi antara faktor utama yang menjejaskan keberhasilan pelbagai rancangan pembangunan kerajaan meskipun dokumen perancangan disediakan dengan teliti.
Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, perkara itu berdasarkan pengalamannya terlibat dalam beberapa jawatankuasa peringkat kebangsaan yang menilai rancangan serta pelaksanaan dasar kerajaan.
“Saya berani kata, walaupun saya tak pernah buat kajian, saya yakin 70 hingga 80 peratus daripada masalah kita adalah pada pelaksanaan.
“Dokumen-dokumen perancangan kita sangat cantik dan rancangan yang dibuat pun hebat. Tetapi selepas itu apa yang berlaku? Siapa yang melaksanakan? Di situlah masalah besar kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar Edisi 490 bertajuk ‘Belanjawan 2027: Gula-Gula Pilihan Raya atau Remedi Rancangan Malaysia?’ yang dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Karangkraf pada Rabu.
Tambahnya, penilaian sesuatu program tidak seharusnya tertumpu kepada jumlah penerima atau kemudahan yang disediakan, sebaliknya perlu mengukur perubahan sebenar terhadap kehidupan kumpulan sasaran.
Sebagai contoh, beliau merujuk program bantuan kepada ibu tunggal di kawasan luar bandar yang menerima mesin serta kemudahan untuk menghasilkan produk makanan, namun hasil keluaran berdepan masalah pemasaran.
Beliau berkata, pemberian kemudahan fizikal sahaja belum memadai sekiranya penerima tidak mempunyai saluran untuk memasarkan hasil yang diusahakan.
“Yang penting ialah hasil. Bukan sekadar beri mesin atau bantuan, tetapi adakah ibu tunggal itu mendapat pendapatan hasil jualan produk yang dihasilkan,” katanya.
Noor Azlan menjelaskan, keadaan itu menunjukkan bantuan kerajaan memerlukan sokongan susulan daripada aspek pemasaran supaya penerima memperoleh pulangan daripada aktiviti dijalankan, selain koordinasi antara kementerian perlu diperkukuh bagi memastikan sesuatu projek mengambil kira keperluan pembangunan lain.
Menurutnya, kelemahan boleh berlaku apabila sesuatu agensi hanya menumpukan bidang tugas sendiri tanpa melihat keperluan yang berkait dengan hasil akhir program.
“Kalau kita bantu buat produk, kita juga perlu fikir siapa yang akan membantu menjual. Kalau pemasaran dianggap bukan tanggungjawab, akhirnya matlamat program tidak tercapai,” katanya.
Bagaimanapun, Noor Azlan berpandangan, kelemahan pelaksanaan turut dapat dilihat dalam isu kos sara hidup, sekuriti makanan dan pendidikan apabila rancangan lama digantikan dengan pelan baharu tanpa menyelesaikan masalah asal.
Keadaan itu menyebabkan sesetengah isu terus berulang meskipun sudah dibincangkan menerusi pelbagai rancangan pembangunan sebelum ini.
“Kadang-kadang apabila sesuatu perkara tidak berlaku, kita keluarkan pula pelan baharu. Akhirnya kita selama-lamanya penat merancang,” katanya.
Pada masa sama, beliau menegaskan, setiap dokumen perancangan kerajaan wajar disertakan mekanisme penilaian bebas secara berkala bagi mengukur pencapaian sebenar sesuatu dasar, sekali gus membantu pentadbiran mengenal pasti kelemahan serta memastikan peruntukan menghasilkan impak kepada rakyat.
Penilaian berkenaan perlu dilakukan oleh pihak yang tidak terlibat secara langsung dalam merangka atau melaksanakan sesuatu program bagi memastikan hasil yang dilaporkan menggambarkan keadaan sebenar.
“Jangan kementerian yang buat perancangan itu juga yang melaporkan. Kita perlukan pihak bebas untuk melihat apa sebenarnya berlaku,” katanya.