JEREBU yang melanda negara sejak Ogos lalu belum benar-benar pergi. Pada Selasa malam, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Batu Pahat mencecah 203, menyebabkan 335 institusi pendidikan diarahkan tutup pada Rabu.
Ketika ratusan sekolah dan institusi pendidikan terpaksa menghentikan operasi, satu persoalan lama kembali timbul: adakah konglomerat Malaysia turut terpalit dengan kebakaran di Indonesia?
ADUN Stulang, Andrew Chen mendesak Jakarta mendedahkan nama syarikat yang disiasat. Greenpeace pula mendakwa sebuah syarikat terkenal Kuala Lumpur mempunyai kaitan dengan sebuah entiti dalam analisis kebakaran tahun ini.
Dakwaan itu belum membuktikan kesalahan. Ia perlu disiasat secara telus. Namun Malaysia tidak boleh sekadar berpeluk tubuh menunggu laporan dari seberang. Sejarah sepatutnya mengajar kita. Ketika jerebu besar 1997, 18 usaha sama Malaysia dikaitkan dengan syarikat yang disiasat di Indonesia.
Kerajaan ketika itu meminta 43 syarikat Malaysia berkepentingan perladangan di Indonesia menyumbang AS$1.2 juta; 31 dilaporkan berjanji membayar.
Bandingkan dengan kerugian Malaysia akibat jerebu 1997 yang dianggarkan RM801.9 juta bagi Ogos hingga Oktober sahaja. Kos ditanggung negara jauh lebih besar.
Hampir tiga dekad kemudian, persoalan tanggungjawab korporat masih belum selesai. Jika benar ada syarikat Malaysia terlibat, dedahkan siapa pemiliknya dan siapa yang mengawal operasi itu. Jangan berlindung di sebalik nama anak syarikat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak akan melindungi syarikat tempatan yang terbukti bersalah. Pendirian itu perlu diterjemahkan kepada penguatkuasaan.
Malaysia juga perlu mempercepat kajian undang-undang jerebu rentas sempadan. Singapura mempunyai akta khusus sejak 2014 yang berkuat kuasa di luar wilayah terhadap perbuatan yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu.
Siasatan tetap perlukan bukti, peta konsesi dan kerjasama Indonesia. Namun itu bukan alasan membiarkan lompong undang-undang terus terbuka.
Rakyat tidak sepatutnya menjadi mangsa setiap kali angin berubah arah. Udara bersih ialah hak, bukan ihsan. Kalau untung boleh dibawa balik ke sini, tanggungjawab jangan pula tinggal di seberang.