'The Day We Start Again' angkat kisah insan biasa bangkit semula

Iklan
Ryon (tiga dari kiri) bersama para pelakon 'The Day We Start Again'.

FILEM 'The Day We Start Again' tampil dengan kisah kemanusiaan yang dekat dengan realiti kehidupan apabila mengetengahkan perjalanan sekumpulan individu biasa berdepan kegagalan, tekanan dan kehilangan arah sebelum mencari kekuatan untuk bangkit semula.

Filem terbitan bersama Xingyu Group dan platform hiburan interaktif VYBE serta diterbitkan Lomo Pictures itu memulakan penggambaran secara rasmi pada 6 Oktober lalu.

Iklan
Iklan

Pengarahnya, Ryon Lee berkata, naskhah berkenaan mengisahkan sekumpulan individu yang berdepan penipuan, tekanan realiti dan kejatuhan hidup ketika berusaha menghasilkan sebuah filem.

Menurutnya, perjalanan mereka bukan sekadar mengenai pembikinan filem, sebaliknya usaha mencari semula sebab untuk terus bertahan apabila impian yang dikejar berdepan pelbagai cabaran.

Iklan

“Cerita ini memberi tumpuan kepada dua beradik yang masing-masing melalui pengalaman sukar sebelum mereka kembali bersama individu lain yang turut berdepan kegagalan untuk meneruskan impian,” katanya.

Watak si abang digambarkan sebagai individu yang pulang ke kampung dan menjual ikan masin selepas gagal dalam perniagaan, manakala adiknya kembali dari Taiwan selepas belajar dalam bidang filem sebelum ditipu ketika memperoleh peluang untuk menghasilkan filem.

Iklan

Pengalaman berbeza itu akhirnya menemukan mereka dengan sekumpulan individu lain yang mempunyai kisah kegagalan masing-masing, namun memilih untuk terus berusaha menamatkan perjalanan mengejar impian.

Ryon berkata, filem berkenaan turut membawa pemerhatiannya terhadap industri filem Malaysia dan kehidupan sebenar, dengan mengangkat tema impian, kepercayaan serta keberanian untuk bangkit selepas melalui kejatuhan.

Ryon (kiri) memerhatikan aksi pelakon menerusi skrin.

Pada masa sama, Charlene An Yu Chin membawa watak seorang wanita yang sekian lama menjaga warga emas di penghujung hayat, sehingga kehidupannya terperangkap dalam rutin yang berat dan berulang.

Kehidupan watak itu mula berubah selepas dia menyertai projek filem kumpulan berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada perjalanan baharu dalam hidupnya.

Dr Kervis Soo yang bertindak sebagai Penerbit, Ketua Perancang dan Penulis Skrip memberitahu, filem itu dibiayai sepenuhnya oleh beliau dengan pengalaman seperti pengkhianatan, kemalangan, kemurungan dan kehilangan arah diterjemahkan ke layar perak.

Beliau berkata, pengalaman sukar tidak seharusnya dianggap sebagai pengakhiran kerana setiap individu masih mempunyai pilihan untuk memulakan semula kehidupan.

“Saat sukar bukanlah pengakhiran dan setiap orang masih boleh memilih untuk bermula semula. Walaupun produksi ini memerlukan penambahbaikan berterusan, kami akan terus berusaha sehingga filem ini disiapkan,” katanya.

Filem yang turut dibintangi Bruce Chiu, Lay Kar Heng, Olio Tan, Henn dan Yuan Teng itu kini menjalani penggambaran yang dijangka selesai pada pertengahan November, dengan kira-kira 90 peratus penggambaran dilakukan di Malaysia termasuk Kuala Lumpur dan Kluang.

Penggambaran tambahan dirancang di Luang Prabang, Laos, manakala 'The Day We Start Again' dijadualkan untuk ditayangkan tahun depan dengan turut dikembangkan menerusi kandungan video pendek, rakaman di sebalik tabir dan pelbagai format media sosial.