Rakyat wajar tahu siapa calon PM jika BN-Pas menang PRU16 – Penganalisis
Iklan
Dr Rusdi berkata, gabungan itu tidak semestinya harus menamakan calon perdana menteri sekarang, tetapi perlu ada calon nama selewat-lewatnya sebelum Parlimen dibubarkan memandangkan penggal akan tamat pada Disember 2027. Foto: Awani
KUALA LUMPUR - Rakyat wajar tahu siapa bakal perdana menteri sebelum Parlimen dibubarkan, bukan selepas rundingan tertutup jika gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pas berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), dari sudut akauntabiliti.
Dekan Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Rusdi Omar berkata, gabungan itu tidak semestinya harus menamakan calon perdana menteri sekarang, tetapi perlu ada calon nama selewat-lewatnya sebelum Parlimen dibubarkan memandangkan penggal akan tamat pada Disember 2027.
Iklan
Iklan
Beliau menegaskan, sekurang-kurangnya BN dan Pas perlu mengumumkan formula seperti parti yang menang kerusi terbanyak boleh menamakan perdana menteri mereka kalau pun belum boleh sepakat tentang nama calon itu.
“Kalau tidak (menamakan calon perdana menteri), pengundi macam diminta tandatangan cek kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Iklan
Sebelum ini, Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar berkata, pihaknya menggesa Pas menyatakan pendirian sama ada bersedia menerima Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai perdana menteri jika BN dan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan selepas PRU16.
Mahfuz membangkitkan persoalan itu susulan ramalan penganalisis politik Ong Kian Ming bahawa Ahmad Zahid berpotensi mendapat sokongan Sabah dan Sarawak untuk menjadi perdana menteri jika BN dan Pas atau PN membentuk kerajaan selepas PRU akan datang.
Iklan
Bagaimanapun, Dr. Rusdi menjelaskan, jika mengikut Perlembagaan Persekutuan, sebenarnya tidak ada kewajipan untuk mana-mana parti menamakan calon perdana menteri sebelum pilihan raya sebagaimana tertakluk kepada Perkara 43(2)(a) iaitu Agong melantik Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti.
Beliau berkata, sudah menjadi kebiasaan untuk parti gabungan menamakan calon perdana menteri seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH) yang menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada PRU14.
Pada PRU15 pula, katanya, semua gabungan mempunyai ‘poster boy’ mereka seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kita pun sudah rasa sendiri pada 2022, bila tidak ada gabungan cukup 112 kerusi, keadaan menjadi tidak menentu.
“Tetapi kalau terus berdiam, lawan akan terus serang isu ini. Pas sendiri pernah kata mereka ada calon perdana menteri sendiri,” ujarnya.
Dr. Rusdi turut mengulas berkenaan isu kes mahkamah melibatkan Ahmad Zahid, katanya, dari segi undang-undang, beliau tidak pernah disabitkan dan mendapat melepas tanpa membebaskan (DNAA) untuk 47 pertuduhan kes Yayasan Akalbudi pada September 2023, selain Pejabat Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) pada 8 Januari 2026.
“Cuma keputusan itu masih dicabar Badan Peguam di mahkamah. Jadi isunya bukan undang-undang, tapi persepsi dan integriti, dan itu boleh menjejaskan sokongan pengundi atas pagar serta akar umbi Pas,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, parti gabungan Sabah dan Sarawak perlu diambil perhatian kerana mereka memegang 56 daripada 222 kerusi, atau lebih kurang 25 peratus jumlah keseluruhan.
Tegasnya, keadaan itu sekali gus akan menimbulkan kesukaran untuk membentuk kerajaan jika blok Borneo sendiri tidak menerima nama calon perdana menteri yang dicadangkan. - Awani
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, tempoh berkenaan tidak terlalu panjang seperti yang didakwa sesetengah pihak, sebaliknya wajar bagi memastikan urusan pilihan raya dapat dilaksanakan dengan lancar.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/799387/berita/politik/prn-melaka-tiga-minggu-tempoh-munasabah-jangan-prasangka-spr---ab-rauf
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.