Enam reformasi institusi perlu dilaksana dalam penggal semasa - APPG-IGAR

Iklan
Kerajaan digesa memastikan enam reformasi institusi kritikal termasuk pemisahan Peguam Negara-Pendakwa Raya dilaksanakan dalam penggal Parlimen semasa bagi memastikan komitmen reformasi diterjemahkan kepada perubahan institusi kukuh dan berkekalan.

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa memastikan enam reformasi institusi kritikal termasuk pemisahan Peguam Negara-Pendakwa Raya dilaksanakan dalam penggal Parlimen semasa bagi memastikan komitmen reformasi diterjemahkan kepada perubahan institusi kukuh dan berkekalan.

Kumpulan Masyarakat Sivil dan Pakar kepada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia - Integriti, Governan dan Antirasuah (APPG-IGAR) berkata, pelaksanaan reformasi berkenaan perlu disertai garis masa jelas, mekanisme pertanggungjawaban dan perlindungan institusi berkesan.

Iklan
Iklan

“Enam reformasi institusi kritikal perlu diberi keutamaan dan kemajuan segera serta bermakna mesti dicapai dalam penggal Parlimen semasa.

"Enam reformasi berkenaan ialah pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, penggubalan undang-undang Kebebasan Maklumat, pembiayaan politik, reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Akta Perkhidmatan Parlimen serta reformasi pilihan raya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Kenyataan itu disokong Tan Sri Syed Hamid Albar, Tan Sri Nazir Razak, Datuk Hussamuddin Yaacub, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff, Prof Dr Edmund Terence Gomez, Shah Hakim Zain, Maha Balakrisnan, Christopher Leong, Cynthia Gabriel, Karen Cheah Yee Lynn dan Anas Zubedy.

Turut menyokong, Nurhayati Nordin daripada Rasuah Busters, Faisal Abdul Aziz (Bersih), Prishanth Linggaraj (C4), Badlishah Sham Baharin (Ikram) Aira Azhari (IDEAS), Tharma Pillai (Undi18) dan Dr Raymon Ram (Transparency International Malaysia).

Iklan

Bagi pemisahan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, menurut kumpulan itu, perlaksanaannya perlu dibuat dalam penggal Parlimen semasa dengan memastikan kebebasan pendakwaan dan pertanggungjawaban yang jelas kepada Parlimen.

APPG-IGAR menambah, pindaan Perlembagaan semata-mata tidak mencukupi tanpa rangka kerja yang menetapkan kuasa, fungsi, kebebasan dan pertanggungjawaban kedua-dua jawatan berkenaan.

Kumpulan itu berpandangan, dalam isu kebebasan maklumat pula, undang-undang berkaitan perlu menjamin akses kepada maklumat bermakna dan boleh dikuatkuasakan, selain tidak bergantung kepada budi bicara institusi.

"Antara perkara yang dicadangkan termasuk ujian kepentingan awam dan kemudaratan yang kukuh, pengecualian yang ditakrifkan secara sempit, penguatkuasaan bebas serta mekanisme rayuan berkesan," ujarnya.

Bagi pembiayaan politik, kumpulan itu menegaskan Malaysia tidak seharusnya memasuki Pilihan Raya Umum akan datang tanpa peraturan pembiayaan politik yang jelas dan boleh dikuatkuasakan.

Jelas mereka, ia termasuk kewajipan mengisytiharkan sumbangan politik, aset parti dan pendapatan, akaun diaudit secara bebas, had sumbangan dan perbelanjaan serta ketelusan sumbangan korporat.

Selain itu, kumpulan berkenaan turut menggesa pembiayaan awam kepada parti politik dan penalti bermakna terhadap ketidakpatuhan diperkenalkan.

"Mengenai reformasi SPRM, kemerdekaan agensi itu perlu dijamin melalui undang-undang dan perlindungan institusi, bukannya bergantung kepada individu yang memegang jawatan.

"Antara cadangan dikemukakan termasuk proses pelantikan telus, mekanisme penyingkiran yang jelas, kebebasan operasi, panel pengawasan lebih kukuh serta pengawasan Parlimen yang berkesan," kongsinya.

APPG-IGAR memaklumkan, bagi Akta Perkhidmatan Parlimen pula, reformasi perlu memastikan kemerdekaan institusi sebenar termasuk melalui penubuhan Pejabat Penggubalan Undang-Undang Parlimen yang bebas dan autonomi kewangan lebih besar.

Sementara itu, kumpulan tersebut berkata, reformasi pilihan raya perlu memberi tumpuan kepada peraturan yang jelas, ketelusan perbelanjaan politik dan penguatkuasaan yang berwibawa.

Justeru, mereka menggesa Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 direformasi bagi menangani isu perbelanjaan kempen, pengisytiharan kewangan diaudit, perbelanjaan parti dan pihak ketiga, kempen digital serta influencer berbayar.

Katanya, ia turut merangkumi penyalahgunaan jentera kerajaan, undi pos dan risiko baharu berkaitan kecerdasan buatan (AI).

“Suruhanjaya Pilihan Raya mesti dilengkapi dan diberi kuasa untuk menyiasat, mengaudit dan menguatkuasakan peraturan pilihan raya dalam bidang kuasanya.

“Peraturan pilihan raya hanya akan berwibawa sekiranya penguatkuasaannya berkesan,” katanya.

Kumpulan itu turut menegaskan reformasi institusi mesti melangkaui pengumuman dan kelulusan undang-undang dengan setiap reformasi mempunyai garis masa, mekanisme pelaksanaan, pertanggungjawaban serta perlindungan berkesan.