KUALA LUMPUR - Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan graduan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) supaya tidak hanya mengejar kecemerlangan akademik, sebaliknya memelihara akhlak, integriti dan prinsip dalam mendepani cabaran dunia akhir zaman.
Baginda bertitah, masyarakat kini berdepan zaman apabila maklumat mendahului kebijaksanaan dan fitnah mengatasi kebenaran, selain manusia semakin tinggi ilmu tetapi ada kalanya semakin rendah adab.
"Justeru, jadikanlah agama sebagai pedoman, ilmu sebagai penyuluh jalan, dan akhlak sebagai benteng fitnah akhir zaman.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan titah sempena penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan pada Majlis Konvokesyen UniKL Ke-23 (Sesi Pertama) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada Sabtu.
Turut berangkat ke majlis itu Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi MARA merangkap Pro-Canselor UniKL, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi dan Pro-Canselor UniKL, Datuk Seri SH Mohmed Puzi SH Ali.
Baginda turut mengingatkan graduan supaya tidak menjadi insan yang cemerlang di dewan kuliah tetapi kecundang dalam aspek akhlak, tinggi ijazah tetapi rendah pekerti serta luas pengetahuan tetapi sempit pertimbangan.
Titah baginda, akan tiba waktunya graduan perlu membuat pilihan antara perkara mudah dengan kebenaran, keuntungan dengan kejujuran serta keseronokan sementara dengan maruah diri.
"Pada saat itulah, bukan segulung ijazah yang menentukan kemuliaan seseorang, tetapi nilai dan prinsip yang tetap dipertahankan ketika tiada siapa yang memerhatikan," titah baginda.
Baginda turut mengingatkan graduan supaya tidak melupakan ibu bapa, jasa pendidik dan tanah air walau sejauh mana mereka melangkah mengejar cita-cita.
Dalam titah sama, Sultan Pahang menegaskan kepentingan graduan memiliki jati diri bangsa, semangat patriotisme serta kesetiaan kepada Raja dan negara, selain menghormati agama dan Perlembagaan.
Baginda bertitah, keamanan dan kemerdekaan yang dinikmati negara hari ini tidak terbina dalam sehari, sebaliknya hasil perjuangan, kebijaksanaan dan permuafakatan generasi terdahulu yang perlu dihargai serta dipelihara.
Sehubungan itu, baginda mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadi angkuh sehingga memperlekehkan warisan, mempertikaikan institusi dan meremehkan asas kenegaraan yang selama ini memayungi kehidupan rakyat.
"Seseungguhnya, kebebasan bukanlah lesen untuk bertindak sesuka hati, keberanian bukan alasan untuk berlaku biadab, dan kebijaksanaan bukan diukur melalui kelantangan seseorang melawan arus atau mempertikaikan segala perkara tanpa asas ilmu dan fakta," titah baginda.
Baginda bertitah, bukan semua yang melawan arus itu pejuang, bukan semua yang lantang bersuara itu benar dan bukan semua yang gemar mempertikaikan sesuatu itu bijak.
Bagaimanapun, baginda menegaskan perbezaan pandangan dan teguran membina tidak pernah ditolak, namun kritikan perlu berasaskan fakta, teguran disampaikan dengan adab dan perbezaan pendirian tidak seharusnya menyebabkan hilang pertimbangan.
"Kepada para mahasiswa sekalian, jangan menjadi generasi yang hebat menggenggam segulung ijazah semata-mata, tetapi gagal memahami harga sebuah kedaulatan.
"Gunakanlah ilmu untuk membina negara, menyatukan masyarakat; bukannya meruntuhkan perpaduan; menyemarakkan permusuhan," titah baginda.
Dalam perkembangan sama, Sultan Pahang menzahirkan penghargaan kepada UniKL atas penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan yang disifatkan baginda sebagai pengiktirafan bermakna, bukan sahaja kerana penghormatan diberikan tetapi juga ikatan kasih dan sejarah panjang bersama universiti itu.
Baginda bertitah, ketika mula diberikan amanah sebagai Canselor Pertama UniKL pada 2004, universiti berkenaan hanya mempunyai tujuh kampus dan 17 program pengajian.
Bagaimanapun, UniKL kini berkembang kepada 12 kampus dengan 162 program pengajian yang memberi manfaat kepada 38,338 mahasiswa.
Daripada hanya 830 graduan pada konvokesyen pertama pada 2004, UniKL kini meraikan lebih 8,000 graduan, selain mencatat sejarah dengan kelahiran graduan ke-100,000.
Baginda turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARA Corporation, Lembaga Pengarah, Senat universiti serta seluruh warga UniKL atas penganugerahan berkenaan.
Sultan Pahang bertitah, walaupun tidak lagi menyandang amanah sebagai Canselor, kasih baginda terhadap UniKL tidak pernah berakhir.
Baginda turut menzahirkan keyakinan bahawa Tengku Mahkota Pahang akan meneruskan legasi kepimpinan itu dengan kebijaksanaan dan wawasan bagi membawa UniKL ke tahap kecemerlangan lebih tinggi.
Kepada graduan, baginda menitahkan supaya sentiasa merendah hati walau setinggi mana kedudukan, mengenang jasa mereka yang menabur budi dan tidak memutuskan pergantungan kepada ALLAH SWT walau sebesar mana kejayaan dicapai.
"Pergilah meneroka dunia dengan keyakinan dan pulanglah membawa sumbangan. Bawalah nama UniKL dengan penuh kehormatan, dan gunakanlah ilmu untuk membuka jalan kepada generasi yang akan datang.
"Biar kejayaan mengharumkan nama, biar budi menyentuh jiwa, dan biar bakti menjadi warisan yang terus bernyawa," titah baginda.