KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijangka mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan penjualan Boustead Plantations Berhad (BPlant) kepada Achi Jaya Plantations Sdn Bhd.
Menurut maklumat yang diperoleh Sinar Harian, Lembaga Pengarah LTAT dipercayai sudah memilih Achi Jaya sebagai pembeli pilihan.
Bagaimanapun, pelaksanaan transaksi yang dilaporkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion itu masih tertakluk kepada kelulusan akhir Perdana Menteri.
Perkembangan ini menarik perhatian kerana LTAT dalam kenyataan rasmi pada 18 November lalu menegaskan bahawa belum ada perjanjian muktamad ditandatangani.
Namun, kenyataan itu tidak mengesahkan atau menafikan sama ada pembida pilihan sudah dikenal pasti.
LTAT menjelaskan bahawa semua pembida dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan lebih awal, merangkumi status syarikat, kemampuan pembiayaan, kesesuaian strategik serta komitmen terhadap komuniti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Antara nama yang dilaporkan menjadi pilihan ialah Achi Jaya, sebuah syarikat perladangan persendirian yang pernah dikaitkan menerusi laporan terdahulu mengenai pemilikan korporat dengan keluarga Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, bekas Ketua Menteri Sarawak.
Mengapa BPlant perlu dijual sekarang?
LTAT merupakan badan berkanun yang ditubuhkan pada 1972 dan beroperasi di bawah Akta Tabung Angkatan Tentera 1973 (Akta 101), dengan tanggungjawab menguruskan simpanan persaraan serta faedah anggota tentera yang layak.
Cadangan pelupusan BPlant menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak berkepentingan, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili veteran tentera.
Persoalannya bukan sahaja berkaitan proses pemilihan pembeli, malah kewajaran melepaskan aset perladangan ketika prestasi kewangan syarikat dilaporkan semakin baik.
Harga minyak sawit yang masih menyokong pendapatan industri turut menimbulkan persoalan sama ada LTAT akan memperoleh manfaat lebih besar melalui penjualan sekarang atau dengan mengekalkan pelaburan itu untuk jangka panjang.
Dalam konteks ini, terdapat tujuh persoalan utama yang memerlukan penjelasan sebelum transaksi dimuktamadkan.
1. Ketelusan pemilihan pembida
LTAT menyatakan proses pemilihan menggunakan kriteria yang ditetapkan lebih awal, termasuk pengesahan status syarikat oleh penasihat bebas serta kemampuan melaksanakan transaksi.
Namun, apakah kriteria dan pemberat yang digunakan dalam penilaian tersebut? Apakah hasil penilaian penasihat bebas yang meletakkan Achi Jaya sebagai pilihan berbanding pembida lain?
Adakah Lembaga Pengarah LTAT sudah membuat keputusan rasmi mengenainya?
2. Pemilikan dan kawalan Bumiputera
LTAT menetapkan bahawa pembida mestilah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan/atau syarikat Bumiputera.
Adakah LTAT sudah mengesahkan pemilik benefisial sebenar Achi Jaya, termasuk struktur pegangan korporat luar pesisir yang pernah dilaporkan?
Adakah hak mengundi serta sebarang instrumen boleh tukar yang berpotensi mengubah kawalan syarikat selepas pengambilalihan turut diteliti?
Apakah jaminan dan perlindungan undang-undang yang disediakan bagi memastikan pemilikan serta kawalan Bumiputera terus terpelihara selepas transaksi?
3. Kemampuan kewangan Achi Jaya
Dengan nilai pengambilalihan yang dilaporkan sekitar RM3.5 bilion, adakah Achi Jaya sudah memperoleh komitmen pembiayaan mengikat yang mencukupi?
Berapakah bahagian pembiayaan yang akan disumbangkan melalui modal pemegang saham berbanding pinjaman?
Adakah aset BPlant akan digunakan sebagai cagaran sehingga berpotensi menjejaskan kedudukan kewangan syarikat itu?
4. Perlindungan tanah perladangan
Tanah perladangan merupakan antara aset utama BPlant yang perlu dilindungi dalam sebarang perubahan pemilikan.
Adakah perjanjian jual beli akan mewajibkan persetujuan LTAT sebelum tanah atau aset utama dijual, dipindahkan atau dibangunkan, khususnya sekiranya hasil pelupusan digunakan untuk membayar hutang pengambilalihan?
Apakah sekatan kontrak yang boleh dikuatkuasakan bagi memastikan aset serta operasi teras perladangan BPlant terus terpelihara?
5. Perlindungan baki kepentingan LTAT
Sekiranya LTAT mengekalkan 25 peratus kepentingan dalam BPlant, apakah hak persetujuan dan perwakilan dalam Lembaga Pengarah yang akan melindungi nilai pelaburannya?
Perlindungan itu penting bagi mengelakkan kepentingan LTAT terjejas akibat pelupusan aset, pertambahan hutang, transaksi pihak berkaitan atau perubahan perniagaan teras yang dilakukan oleh pemegang saham majoriti.
6. Akauntabiliti dan kepentingan pencarum
Adakah LTAT sudah mendapatkan penilaian bebas yang membandingkan manfaat menjual BPlant dengan mengekalkannya sebagai pelaburan, mengambil kira prestasi kewangan semasa, prospek industri sawit serta potensi pendapatan jangka panjang?
Bolehkah hasil penilaian itu, termasuk unjuran manfaat kewangan yang bakal diterima pencarum, didedahkan sebelum perjanjian dimeterai?
7. Perbandingan dengan transaksi KLK pada 2023
Pada 2023, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mencadangkan pembelian 33 peratus kepentingan dalam BPlant pada harga RM1.55 sesaham, sekali gus memberikan anggaran nilai keseluruhan ekuiti syarikat sekitar RM3.47 bilion. Cadangan tersebut bagaimanapun kemudian ditamatkan.
Apakah perbezaan utama antara tawaran KLK dengan cadangan Achi Jaya dari segi nilai, struktur pemilikan, pembiayaan dan kepentingan strategik? Adakah dasar atau kriteria penilaian LTAT berubah sejak 2023?
Keyakinan pencarum menjadi ukuran
LTAT menegaskan bahawa semua keputusan pelaburan melalui proses kelulusan yang melibatkan Panel Pelaburan, Lembaga Pengarah serta pihak berkuasa berkaitan.
Namun, ketiadaan perjanjian muktamad tidak dengan sendirinya menjelaskan sama ada keputusan memilih pembeli sudah dibuat atau apakah pertimbangan yang mendasarinya.
Bagi pencarum tentera, persoalan akhirnya bukan sekadar siapa yang bakal mengambil alih BPlant, tetapi sama ada penjualan itu benar-benar memberikan pulangan lebih baik berbanding mengekalkannya sebagai pelaburan jangka panjang.
Lebih penting, bagaimana aset perladangan dan baki kepentingan LTAT akan terus dilindungi selepas pengambilalihan?
Penjelasan terhadap semua persoalan ini amat penting sebelum keputusan membabitkan aset bernilai berbilion ringgit dimuktamadkan.
Dalam urusan sebesar ini, keyakinan pencarum tidak boleh sekadar bergantung pada jaminan bahawa proses telah mengikut prosedur, sebaliknya perlu disokong oleh ketelusan, akauntabiliti dan bukti bahawa kepentingan mereka sentiasa diutamakan.