KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menyifatkan perbuatan mencemarkan karpet Masjid Al-Aziz Al-Hadi Kota SPP Warisan di Kampung Berangan, Tumpat dengan cecair busuk bercampur serpihan tulang dan bulu sebagai tindakan tidak bertanggungjawab serta biadab yang tidak boleh dipandang ringan.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihak berkuasa khususnya polis perlu segera mengenal pasti individu yang terlibat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku.
"Itu adalah satu perbuatan yang sangat-sangat biadab dan tidak bertanggungjawab. Cuma kita tidak tahu siapa.
"Jadi kita minta sangat supaya pihak berkuasa, sama ada polis ataupun pihak berkaitan, tolong siasat dan cari siapa yang terlibat serta ambil tindakan yang sewajarnya," katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Terdahulu pada Selasa, jemaah sebuah masjid di Kampung Berangan, Tumpat dikejutkan dengan perbuatan khianat apabila karpet ruang solat dicemari air selut berbau busuk dan bercampur serpihan tulang serta bulu pada pagi Isnin.
Kejadian itu disedari pihak Masjid Al-Aziz Al-Hadi Kota SPP Warisan pada jam 6.30 pagi sebelum kontraktor pembersihan dipanggil untuk melakukan kerja-kerja pembersihan.
Menurut beliau, kesucian rumah ibadat perlu dihormati dan kecaman yang sama akan diberikan sekiranya perbuatan seumpama itu berlaku terhadap mana-mana rumah ibadat lain.
"Ini bukan masalah masjid sahaja. Kalau ia buat kepada tempat ibadat lain pun, kita akan kecam perbuataan berkenaan.
"Ini sangat-sangat tidak bertanggungjawab," katanya.
Mengulas dakwaan bahawa suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu mempunyai masalah kesihatan mental, Mohamed Fadzli berkata, perkara tersebut masih belum dapat dipastikan dan siasatan perlu diserahkan kepada pihak polis.
Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diikuti setakat ini, pihak polis sudah mengambil beberapa tindakan berhubung kes berkenaan.
"Saya yakin pihak polis akan berjaya menyelesaikan isu ini dalam masa yang singkat, insyaALLAH," katanya.
Ditanya mengenai dakwaan lain termasuk kemungkinan individu terbabit terpengaruh dengan ajaran tertentu atau ilmu hitam, beliau memberitahu perkara itu masih berupa andaian dan tidak wajar dibuat kesimpulan sebelum siasatan selesai.
"Kita tidak tahu sebenarnya. Laporan itu macam-macam. Orang kata kononnya orang ini tidak berapa sihat dari segi mental, ada yang kata mungkin dia menganut ajaran sesat dan ada juga yang mengatakan dia belajar ilmu hitam yang mensyaratkan buat begitu.
"Wallahualam. Apa-apa pun kita serahkan kepada pihak polis," katanya.