KOTA BHARU - Kedudukan Datuk Kamarudin Md Nor sebagai Exco kekal seperti biasa setakat hari ini meskipun hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan Pas sudah lama terputus termasuk kerjasama menerusi Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kamarudin yang juga antara pimpinan Bersatu Kelantan masih hadir dan menjalankan tugas dalam mesyuarat kerajaan negeri seperti biasa.
"Kita di peringkat Exco belum bincang lagi, sehingga hari ini.
"Jadi sehingga hari ini masih lagi kekal dan tadi pun beliau hadir mesyuarat," katanya semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Mingguan Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Ujar beliau, situasi yang berlaku ketika ini juga tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.
"Setakat hari ini, pentadbiran masih berjalan dengan lancar.
"Masa-masa depan itu kita tidak tahulah," katanya.