KOTA KINABALU - Ibu Zara Qairina Mahathir mendedahkan beberapa nama pelajar yang didakwa sering mengejek anaknya dengan gelaran seperti 'sok-sok cantik' atau 'perasan cantik' ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Rabu.
Menurut Noraidah Lamat, 46, ejekan berkenaan dikatakan dilakukan oleh pelajar senior dan perkara itu pernah diceritakan Zara Qairina kepadanya.
"Orang yang suka mengejek ini senior. Biasanya ejekan itu yang seperti saya sebut. Saya pun tidak tahu apa puncanya yang sebenarlah kenapa perlu cakap 'sok-sok cantik', 'pick me', ataupun perasan cantik.
"Saya pernah cuba bertanya dengan Zara, 'Ra, kenapa dia orang tu cakap-cakap Zara sok-sok cantik? Memangnya Zara mama ni cantik. Zara kan sehebat mama'. 'Ra pun tidak tahu kenapa dia orang cakap-cakap Zara begitu'," katanya.
Noraidah berkata demikian ketika ditanya peguam mewakilnya, Shahlan Jufri yang memintanya menceritakan lebih lanjut mengenai orang yang suka mengejek anaknya itu.
Menjawab soalan peguam sama ada Zara Qairina pernah memberitahu nama pelajar yang sering mengejeknya, Noraidah kemudian menyebut beberapa nama yang dikatakan diceritakan kepadanya secara lisan atau menerusi rakaman audio.
"Antara nama yang selalu diceritakan kepada saya secara lisan ataupun rakaman audio... Itu yang mengejek yang perkataan 'sok-sok cantik, perasan cantik'," katanya.
Noraidah turut memberitahu bahawa ejekan berkenaan bukan sekadar secara lisan, malah dia turut dimaklumkan Zara Qairina mengenai contengan menggunakan perkataan sama di bilik Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).
"Difahamkan, saya diberitahu Zara, orang itulah yang menconteng namanya di bilik RBT, 'Sok-sok cantik, sok-sok cantik' tidak pandai habis.
"Lama sudah tulisan itu dan tidak dapat hilang katanya. Saya tanya dia 'tulis pakai apa Ra?, pakai marker'.
"Jadi macam mana mahu padam? Tidak dapat Ma, Ra sudah cuba padam-padam pakai pemadam," katanya.
Menurut Noraidah, beliau kemudian cuba membantu Zara Qairina untuk cuba memadam contengan berkenaan selepas mendapati tulisan itu sukar untuk dihilangkan menggunakan pemadam.
"Jadi pada suatu hari tu, saya kata 'Ra mari kita padam pakai 'thinner', buka kah bilik tu?.
"Jadi nanti hari Ahad mama datang awal lah kita naiklah. Berkunci bilik tu di bawah seliaan cikgu katanya," katanya.
Noraidah berkata, beliau meminta Zara Qairina membawa cecair berkenaan dari rumah untuk digunakan bagi memadam contengan tersebut, namun tulisan berkenaan kembali muncul selepas dipadam.
"Tapi lepas dia padam, dia maklumkan saya, 'Ma dia orang tulis lagi. Apa juga balik-balik mahu tulis, bagi tahu lah Cikgu Zabidi Ra,' saya bilang.
"Sudah Zara bagi tahu Cikgu Zabidi, 'dicakapnya pula Zara yang tulis sendiri' begitulah," katanya.