SHAH ALAM - Lokasi tumpuan warga asing di kawasan komersial Taman Sri Muda, di sini, digempur dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor pada Sabtu.
Operasi yang bermula kira-kira jam 11 pagi itu menyaksikan beberapa warga asing terkejut dengan kehadiran pihak berkuasa, malah ada antara mereka cuba melarikan diri ketika serbuan dijalankan.
Bagaimanapun, laluan keluar sudah dikawal anggota penguat kuasa termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengelakkan warga asing terbabit meloloskan diri.
Serbuan yang membabitkan 254 pegawai dan anggota itu turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Hasil operasi berkenaan, seramai 489 warga asing ditahan daripada 831 individu yang diperiksa kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, operasi itu melibatkan warga asing yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah, tinggal lebih masa atau menyalahgunakan pas dan permit kerja.
"Kesemua mereka akan dibawa ke depoh imigresen untuk tindakan selanjutnya," katanya pada Sabtu.
Katanya, pemeriksaan turut mengesan warga asing yang memiliki permit kerja dalam sektor pembinaan, namun didapati bekerja di restoran.
"Tindakan boleh diambil terhadap pekerja asing dan majikan yang menggaji mereka tanpa permit sah mengikut sektor pekerjaan ditetapkan.
"Serbuan dijalankan mendapati terdapat penyalahgunaan permit kerja apabila warga asing yang diberikan permit untuk bekerja dalam sektor pembinaan, sebaliknya bekerja di restoran.
Jelasnya, majikan yang mengambil mereka juga melakukan kesalahan kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah bagi sektor berkenaan.
"Warga asing yang ditahan terdiri daripada 405 lelaki dan 84 wanita berusia antara 19 hingga 62 tahun.
"Tangkapan melibatkan warga Bangladesh mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 152 orang, diikuti Nepal (115), Myanmar (99), India (65), Indonesia (43), Pakistan (11) dan Sri Lanka (empat)," katanya.
Dalam pada itu, ujarnya, SSM mengeluarkan enam kompaun berjumlah RM16,500, manakala Imigresen mengeluarkan lima Borang 29 atau saman saksi kepada pemilik premis bagi membantu siasatan.
"Tindakan lanjut akan diambil sekiranya siasatan mendapati pemilik premis terbabit melakukan kesalahan mengikut undang-undang imigresen.
"Semua warga asing yang ditahan akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.