Polis kesan pemandu Proton Satria kuning langgar wanita

Iklan
Video memaparkan seorang penunggang motosikal wanita dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta kuning berhampiran sebuah premis makanan.

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan pemandu kereta jenis Proton Satria berwarna kuning yang melarikan diri selepas melanggar sebuah motosikal di Kampung Jawa, Jalan Hulu Langat, pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, dalam kejadian kira-kira 6.56 pagi itu, seorang wanita berusia 53 tahun dikatakan sedang memberhentikan motosikal ditunggangnya di bahu jalan untuk berurusan di sebuah kedai berhampiran.

Iklan
Iklan

"Secara tiba-tiba, sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna kuning telah melanggar bahagian belakang motosikal itu yang menyebabkan wanita berkenaan tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pemandu kereta melarikan diri selepas melanggar motosikal.

Iklan

Beliau berkata, wanita itu yang mengalami kecederaan kini dirawat di Hospital Ampang manakala kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Naazron berkata, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian termasuk rakaman kamera papan pemuka atau video supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Nur Faezah Mohd Zakria melalui talian 012-326 8496.

Iklan

Beliau berkata, pihak polis turut mengesan satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi pendek berkaitan insiden itu yang tular menerusi media sosial kira-kira 1.50 tengah hari Sabtu.

Video itu memaparkan seorang penunggang motosikal wanita dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta kuning berhampiran sebuah premis makanan, sebelum kenderaan terbabit dilihat terus memecut meninggalkan lokasi kejadian. - Bernama