SHAH ALAM – Kerajaan perlu mengambil langkah tegas, menyeluruh dan berasaskan akauntabiliti bagi memperkukuh keselamatan di semua sekolah dan asrama susulan beberapa tragedi yang melibatkan pelajar.
Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi berkata, langkah tersebut termasuk melaksanakan audit keselamatan secara menyeluruh, memperkukuh sistem pelaporan dan amaran keselamatan serta meningkatkan koordinasi antara agensi berkaitan.
Menurutnya, rentetan insiden buli, gangguan, pergaduhan, kemalangan, keganasan dan kecederaan yang melibatkan kanak-kanak serta remaja di premis pendidikan wajar dilihat sebagai isu keselamatan yang serius dan bersifat sistemik.
"Kita tidak boleh terus menguruskan setiap kejadian sebagai insiden terpencil tanpa menilai kelemahan sistem secara menyeluruh.
"Sekolah ialah institusi yang bukan sahaja mendidik dan memupuk nilai kasih sayang, tetapi juga mesti mempunyai keupayaan untuk mengesan, mencegah serta melindungi warganya melalui sistem amaran awal, saluran pelaporan yang berkesan dan tindakan pantas.
"Kita telah mempunyai undang-undang khusus berkaitan buli, garis panduan serta SOP. Persoalan yang perlu dijawab sekarang ialah sejauh mana prinsip keselamatan benar-benar diterapkan dalam budaya sekolah, dihayati oleh seluruh warga sekolah, dilaksanakan secara konsisten dan dikuatkuasakan apabila berlaku pelanggaran," katanya pada Rabu.
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) tanpa pelaksanaan dan penguatkuasaan yang berkesan tidak akan mampu menyelamatkan nyawa.
Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan supaya mengambil langkah tegas, menyeluruh dan berasaskan akauntabiliti, antaranya memperkukuh sistem pelaporan dan amaran keselamatan dengan memastikan setiap aduan direkodkan, dinilai mengikut tahap risiko dan dipantau sehingga tindakan diambil.
"Selain itu, melantik pegawai keselamatan dan perlindungan kanak-kanak dalam kalangan warga sekolah yang mempunyai tanggungjawab yang jelas, di samping memperkukuh hubungan serta koordinasi dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kerajaan juga perlu memperkukuh koordinasi rentas agensi melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), PDRM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan komuniti.
"Selain itu, latihan serta simulasi keselamatan secara berkala perlu diwajibkan supaya tahap kesiapsiagaan sentiasa diuji dan ditambah baik, bukan hanya selepas sesuatu tragedi berlaku," katanya.
Menurut beliau, apa jua motif yang dikenal pasti kelak, termasuk konflik, dendam, tekanan emosi atau faktor kesihatan mental, tidak boleh dijadikan alasan untuk melakukan keganasan.
"Pada masa yang sama, sebarang petanda risiko mesti dikesan lebih awal dan ditangani melalui intervensi yang sewajarnya," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, yang meninggal dunia selepas ditemukan dalam keadaan parah di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.
Menurutnya, pemergian remaja itu merupakan kehilangan besar kepada keluarga, masyarakat dan negara. Lebih menyayat hati, tragedi tersebut berlaku di tempat yang sepatutnya menjadi ruang paling selamat untuk anak-anak.
"Kita menghormati siasatan pihak berkuasa dan mendoakan agar ia dapat diselesaikan dengan segera. Namun, satu prinsip mesti jelas, apa jua puncanya, keganasan tidak boleh diterima dan keselamatan anak-anak tidak boleh dikompromi," katanya.